Tuduhan Asiah Abd Jalil boleh meruntuhkan asas agama Islam

Asiah Abd Jalil, dalam status seperti yang dilampirkan, menuduh seorang sahabat, Abu Hurairah R.A., yang banyak meriwayatkan hadith sebagai berdusta atas Rasulullah S.A.W.

Apabila Asiah menuduh Abu Hurairah meriwayatkan hadith itu kerana kecenderungannya kepada kucing, tidak kepada anjing, bermakna Asiah menuduh Abu Hurairah mereka-reka hadith.

Hadith yang dimaksudkan itu telah disahkan sahih, menurut disiplin dan methodologi ilmu hadith, oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.

Wahai muslimin dan muslimat semua,
Para sahabat adalah generasi pertama yang menerima agama Islam daripada Rasulullah S.A.W. dan yang menyampaikannya kepada generasi seterusnya.

Wahyu al-Quran dihafaz dan dibacakan oleh mereka ke generasi seterusnya. Sunnah Rasulullah S.A.W., yang berfungsi sebagai penjelas kepada al-Quran, juga mereka yang riwayatkan dan sampaikan kepada generasi seterusnya.

Sahabat seperti Abu Hurairah banyak menyampaikan riwayat, manakala sahabat seperti Abu Bakr, Umar, Ali pula banyak mengajarkan kefahaman agama menurut yang diajar Rasulullah S.A.W.

Mereka ibarat dinding empangan yang menakung sumber ajaran agama Islam.

Oleh itu, sebarang tuduhan dusta ke atas mana-mana sahabat, terutamanya mereka yang tergolong dalam kalangan yang memainkan peranan penting menyampaikan agama ini, adalah satu tebukan ke dinding empangan yang akan meruntuhkan terus sumber agama ini.

Itulah taktik musuh-musuh dalam selimut sejak zaman dahulu lagi. Itulah tindakan Syiah, yang mengkafirkan sebahagian sahabat. Hasil akhir yang mereka mahu ialah agama Islam ini boleh dibentuk menurut cita rasa mereka, tanpa terikat dengan sumber asal.

Kebiasaannya orang berfikiran liberal seperti Asiah ini amat menyanjung Barat kerana dikatakan tamadun mereka itu berasaskan rasional dan logik, manakala orang Timur mundur kerana banyak terikat dengan kepercayaan agama yang tidak saintifik.

Malangnya, tuduhan Asiah bahawa kecenderungan Abu Hurairah kepada kucing menyebabkannya sanggup berdusta mereka-reka hadith palsu adalah satu tindakan yang langsung tiada nilai akademik.

Bagaimana para pengkaji pelbagai cabang ilmu syarak (pelbagai bidang fokus, kerana riwayat Abu Hurairah pelbagai topik), melalui pelbagai disiplin ilmu tersebut (gabungan pelbagai metodologi), sejak berkurun lamanya (skop masa), membabitkan ribuan orang ulama (bilangan pengkaji), boleh konsisten terlepas pandang kecenderungan Abu Hurairah untuk berdusta kerana kucing?

Atau mungkinkah rasional dan logik akal di sisi Asiah dan orang seumpamanya hanya perkara-perkara ‘basic’ yang terlintas di akal fikiran dan tidak sampai ke tahap metodologi ilmu?

Kesian. Tapi Asiah telah menulis sesuatu yang boleh meruntuhkan agama suci ini.

 

Ust Mohd Hazizi Abd Rahman

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1774 access attempts in the last 7 days.