Mengapa Berpuasa 6 Hari di Bulan Syawal ?

Ramadhan adalah perjalanan terbaik seseorang yang mencari keredhaan illahi, tetapi istiqamah dengan amal dan ibadah sesudahnya, merupakan suatu cabaran yang perlu dilalui dengan sebenar-benar kesungguhan.

Di penghujung ramadhan, kebiasaanya jiwa seorang mukmin yang mencari ganjarannya menjadi semakin lebih suci. Malam-malam terakhirnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah qiamullail, menjauhi tilam-tilam empuk, mendekati rumah Allah dan beriktikaf, mulut yang sentiasa dipenuhi dengan bacaan Al-Quran dan zikirullah, puasanya semakin mengesani seluruh gerak geri tubuh dan hatinya.

Adakah dengan berakhirnya Ramadhan, menjadikan semua itu berakhir ?

Tentunya tidak.

Menyelusuri perjalanan seorang pencari keredhaan Illahi, membawa kepada kita erti istiqamah dan berterusan di dalam pencariannya. Setelah berpenat melaksanakan sebuah amal, dia akan menyegerakan dirinya melaksanakan amal yang lain, kerana, sebuah amal yang dilaksanakan dengan niat yang jujur dan ikhlas mampu menjadikan hati semakin suci dan cenderung dengan fitrah kehambaannya.

Maka, apakah  ibadah yang telah disyariatkan khusus untuk post-mortem Ramadhan sebagai tanda istiqamah setelahnya?

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Terdapat beberapa hadith yang menjadi sandaran bagi amalan puasa ini. Antaranya ;

‎عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ رواه مسلم وأبو داود والترمذي والنسائي وابن ماجه

Dari Abu Ayyub al Anshari Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun”. [Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, at Tirmidzi, an Nasaa-i dan Ibnu Majah].

‎عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا رواه ابن ماجه والنسائي ولفظه :

Dari Tsauban maula (pembantu) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Barangsiapa yang melakukan puasa enam hari setelah hari raya ‘Idul Fithri, maka, itu menjadi penyempurna puasa satu tahun. [Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya – QS al An’am/6 ayat 160-]”.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Imam Nasaa-i dengan lafazh :

‎جَعَلَ اللهُ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا فَشَهْرٌ بِعَشْرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامُ سِتَّةِ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ تَمَامُ السَّنَةَ

“Allah menjadikan (ganjaran) kebaikan itu sepuluh kali lipat, satu bulan sama dengan sepuluh bulan; dan puasa enam hari setelah hari raya ‘Idul Fithri merupakan penyempurna satu tahun”.

Apa yang dapat kita teliti dari hadith di atas bahawa, Allah menjadikan amalan puasa 6 hari di bulan syawal ini sebagai penyempurna puasa selama satu tahun, hal ini memberitahu kita sebuah makna yang cukup besar.

Seolah-olah puasa selama setahun itu menggambarkan kepada lambang istiqamah dan sentiasa tetap di atas jalan amal dan ketaqwaan, bukan secara bermusim atau hanya pada waktu, keadaan dan suasana tertentu. Justeru, amalan puasa sunat 6 hari Syawal ini mendidik untuk diri kita mengekalkan sensitivti amal dan taqwa tanpa terikat dengan Ramadhan, seterusnya menjadikan kita istiqamah dengan kebaikan-kebaikan yang telah kita lakukan ketika Ramadhan.

Tercapailah fungsi sebenar madrasah Ramadhan yang mahu melahirkan insan-insan yang berubah atas asas jiwanya sendiri, bukan terikat dengan suasana dan waktu. Terdapat ungkapan masyhur mengatakan ;

كن ربانيا، ولا تكن  رمضانيا

” Jadilah seseorang yang beribadah kerana Allah, bukan kerana Ramadhan “

 

Ust Abdur Rahman Ahmad Raji

B.A Usuluddin Al-Azhar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.