Memahami sebab diutusnya Baginda saw secara menyeluruh

Pengenalan Tafsir Maudhui

Tafsir Maudhui merupakan satu cabang dari method ulama dalam mentafsir al-Quran.

Apabila mendengar pertama kali ungkapan ‘Tafsir Maudhui’ pembaca mungkin mengganggapnya seperti istilah ‘Hadis Maudhu” yang bermaksud Hadis palsu. Hakikatnya sangat berbeza, Tafsir Maudhui’ bererti : Suatu method tafsir yang mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dibawah satu tajuk yang sama.

Contoh mudahnya, seperti tajuk Sabar dalam al-Quran, Iman dalam al-Quran. Mufassir dalam method ini mengumpulkan ayat-ayat al-Quran yang mempunyai tajuk yang sama, lalu meletakkannya dibawah satu tajuk kecil yang sinonim dan menghuraikannya.

Contohnya, Tajuk tafsir Sabar dalam al-Quran. Mufassir memilih ayat-ayat berkaitan dengan sabar, lalu meletakkannya di bawah satu tajuk kecik seperti sifat-sifat penyabar dalam al-Quran, Hakikat makna sabar menurut al-Quran, ganjaran orang yang bersabar dll lagi mengikut ayat-ayat yang sinonim.

Ada yang bertanya, susah juga nak kumpul semua ayat berkaitan dengan sabar dalam al-Quran tu. Sebenarnya, tidaklah susah mana. Ada para ulama yang telah memudahkan kita dengan menghimpunkan keseluruhan ayat-ayat al-Quran dibawah tajuk-tajuk yang sinonim untuk dirujuk. Antara kitab yang masyhur meyusun ayat-ayat dalam tajuk-tajuk ini ialah : معجم مفهرس لألفاظ القرآن karangan Dr Muhammad Fuad Abdul Baqi seorang ulama Mesir.

Tugasan-tugasan Baginda dalam al-Quran

Apabila seseorang membuat pembacaan dalam internet tentang tajuk di atas, kebiasaannya kita akan dapati ramai menyebut tugasan utama ialah Rasulullah SAW itu diutuskan sekadar untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.  (وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين) (ayat 107 surah anbiya’). Maka dengan hujah ini golongan tersebut menggunakannya untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Islam seperti berbaik orang kafir hingga menggadai prinsip, menolak banyak asas Islam kononnya sebagai rahmat untuk manusia lain serta pelbagai perkara lain lagi.

Dalam menjawap perkara ini ada dua cara sebenarnya, pertama adalah dengan dilihat bagaimanakah rahmat bagi sekalian alam yang dimaksudkan itu? adakah ianya bermaksud sehingga menggadai prinsip atau bagaimana?

Namun dalam tulisan ini saya tidak berhajat untuk berbicara mengenai khilaf memehami rahmat tersebut. Sebaliknya, penulis ingin menghimpunkan ayat-ayat yang juga menyebut konteks yang sama dengan turutan ayat yang sama. Supaya pembaca dapat ketahui, Allah SWT telah menerangkan dengan lengkap tugasan-tugasan Baginda SAW.

Selain ayat surah Anbiya’ di atas, Allah SWT juga berfirman :

وما أرسلناك إلا مبشرا ونذيرا.

Ertinya : Tidak kami utuskan Kamu wahai Muhammad kecuali untuk membawa khabar gembira, dan membawa berita buruk bagi orang yang mendustakan.

Di samping itu juga Allah berfirman :

(وما أرسلناك إلا كافة للناس بشيرا ونذيرا ولكن أكثر الناس لا يعلمون)

Ertinya : Dan kami tidak utuskan kamu wahai Muhammad kepada seluruh manusia kecuali untuk memberi khabar gembira dan memberi berita buruk. Akan tetapi ramai dari kalangan mereka tidak mengetahui.

Seterusnya pula, Allah SWT berfirman :

وبالحق أنزلناه وبالحق نزل، وما أرسلناك إلا مبشرا ونذيرا.

Ertinya : Dan dengan Hak kami turunkan dan dengan hak diturunkan. Dan kami tidak utuskan kamu kecuali untuk membawa khabar gembira dan berita buruk.

Kesimpulan

Ayat-ayat yang menyebut tentang tugasan Nabi Muhammad SAW menerangkan bawah tugasan asasi Baginda adalah menjadi pembawa khabar gembira dan berita buruk. Iaitu memberitahu kepada umat manusia tentang Islam. Sekiranya mereka memilih untuk beriman, maka bagi mereka berita gembira iaitu syurga dan keredhaan Allah SWT tuhan mereka. Jika mereka memilih untuk kufur, maka bagi mereka khabar buruk iaitu azab yang menanti mereka di akhirat nanti. Inilah intipati tugasan Baginda SAW untuk menyebarkan Islam dengan cara memberi berita gembira dan khabar buruk.

Namun, timbul konflik sesetengah pihak yang hanya mencedok daripada al-Quran seperti menjala ikan, yang mana dapat diambil dan dibawa pulang. Hakikatnya konsep al-Quran bukanlah begitu, mesti difahami mafhumnya dengan berpandukan al-Quran sendiri.

Dengan itu, jelaslah bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja menyuruh menyampaikan Islam sahaja, tetapi memberi berita gembira, bahkan mengancam mereka dengan azab Allah jika mereka tidak mahu beriman, dengan ancaman api neraka.

perkara ini amat perlu difahami dengan jelas oleh para duat dalam mereka menyampaikan Islam. Dakwaan Islam hanyalah perlu senyum dan melayan orang yang menentangnya adalah tanggapan yang salah. Adakalanya para duat kena mainkan peranan menyebut ancaman-ancaman jika mereka tidak mahu beriman.

Dalam Sirah juga Rasulullah SAW telah membuat perjanjian dengan sesetengah pihak, dan berperang dengan sesetengah pihak yang lain. Tiada yang konsisten hanya berdamai. Hubungan dengan bukan Islam perlu di’review’ dari semasa ke semasa agar kita tidak melanggar syariat Allah dan menyalahi konsep dakwah Baginda SAW.

Sekian.
Wallahuallam.

 

Ust Muhammad Ikram Abu Hassan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.