Imam Syatibi : Tokoh ilmu Qiraat berpengaruh

Sebahagian masyarakat beranggapan bahawa belajar ilmu Qiraat ini tidak berapa penting dan orang-orang yang menuntut ilmu tersebut hanyalah pandai membaca Al-Quran, bertarannum dan tidak mampu memberi sumbangan hebat dalam tamadun Islam. Namun bukanlah begitu kerana sesiapa yang menguasai ilmu Qiraat, dia berupaya menguasai Al-Quran seluruhnya.

Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan ulama’-ulama’ seantero dunia berpendapat ilmu ini adalah ibu kepada segala ilmu yakni, melalui ilmu Qiraat, munculnya ilmu untuk mengistinbat hukum, mentafsir ayat Al-Quran, nahu, balaghah dan lain-lain.

Jikalau ada yang mahu meneruskan pengajian dalam bidang Al-Quran dan Qiraat, Mesirlah tempat yang paling sesuai untuk mendalami dengan lebih jauh. Di sini jugalah banyak khazanah ilmu Qiraat dan juga para ulama’ yang tidak kurang hebatnya dalam bidang ilmu tersebut.

Jadi, untuk siri kali ini, penulis akan berkongsi kisah hidup salah seorang tokoh ulama’ yang banyak memberikan sumbangan besar terhadap ilmu Qiraat ini iaitu, Imam Syatibi.

Nama sebenar beliau ialah Abu Qasim bin Firruh bin Kholaf bin Ahamad as-Syatibi al-Ruainiy al-Andalusiy. Beliau dilahirkan pada tahun 538 Hijrah di Syatibi, satu daerah di Andalus (yang kini dinamakan sebagai Sepanyol). Di sana, beliau telah menghafaz Al-Quran dan mempelajari ilmu Qiraat daripada Abu Abdullah Muhammad bin Abu al-‘Ash.

Kemudian, beliau menuju ke satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibi iaitu Balansiah dan berguru bersama Ibn Huzail. Beliau juga telah menghafaz kitab Al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru ad-Dani dan juga ilmu hadith. Setibanya beliau di Mesir,  beliau telah diberikan pengiktiran tinggi daripada para ulama’ di Mesir dan dilantik sebagai Ketua Lajnah Al-Quran oleh raja Mesir pada ketika itu.

Kitab matan yang bertajuk Hirzul Amaani wa Wajhu al-Tahaani antara kitab hasil karangannya buat pencinta ilmu Qiraat. Kitab ini menyatakan tentang tujuh imam Qiraat yang termasyhur, disusun dalam 1173 baris puisi kesemuanya dan merupakan ringkasan daripada kitab At-Taisir. Jika dilihat pada setiap bait-bait yang ditulisnya, rima akhir dalam matan ini adalah huruf lam. Di samping itu, terselit juga nasihat dan bimbingan yang bermakna dalam bab muqaddimahnya, antaranya,

وهدا زمان الصبر من لك بالتي                           كقبض على جمر فتنجو من البلا

Maksudnya: Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepada Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka akan selamat daripada malapetaka.

Selain itu, kitab beliau yang sering dijadikan rujukan untuk mengetahui lebih mendalam tentang cara penulisan Al-Quran mengikut penulisan Uthmaniyah iaitu  Aqilah Atrab al-Qashaid fi ar-Rasm ditulis rima akhirnya adalah huruf ra’ dan merupakan ringkasan daripada kitab Al-Bayan karangan Imam Abu Amru ad-Dani.

Satu lagi kitab yang ditulis beliau, Nazimatuz Zuhr menerangkan ilmu Fawasil (menyatakan bilangan ayat dan pembahagian surah-surah dalam Al-Quran) dan juga merupakan ringkasan daripada kitab Al-Bayan karangan Imam Abu Amru ad-Dani. Setiap ungkapan bait-bait syair dalam kitab matan yang dikarang oleh beliau sangat memudahkan para penuntut ilmu Qiraat untuk menguasai dan memahami kerana syair ini seperti nota ringkas daripada seribu satu syarah yang panjang berjela-jela.

Beliau telah wafat pada 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dimakamkan di Jabal Muqattam, Kaherah, Mesir. Dalam keadaan matanya yang buta, beliau masih mampu menyuburkan ilmu ini dan berpendirian tegas terhadap perkara-perkara yang berkaitan hukum-hukum Allah. Semoga kita dapat mencontohi kesungguhan beliau dalam menyelami ilmu ini untuk kemaslahatan masyarakat dan masa depan Islam.

—————————————————————————————————————————

 

 

Nurdiana Binti Zwlkifli

Tahun 3 Takhasus Qiraat,

Maahad Qiraat Fatayat Shoubra Al-Kheima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.