Hilangnya keberkatan masa dalam hidup kita

Allah SWT melalui wahyu Al-Quran menekankan satu nilai yang besar dalam kehidupan kita iaitu setiap sesuatu perbuatan mesti dibuat dalam masa dan tempohnya.

Kewajiban solat fardhu 5 kali sehari ditentukan masa-masa yang terperinci bagi setiap solat tersebut. Bila berlalunya masa yang diperuntukan maka solat yang dilaksanakan setelah habis waktunya dikira qadha dengan syarat dan sebab yang munasabah daripada segi syarak. Jika seseorang sengaja meninggalkan solat dia perlu segera bertaubat dan kembali kepada saf bersama orang-orang di masjid.

Al-Quran juga ‘memperdengarkan’ kepada kita jeritan penyesalan dan teriakan nestapa orang yang telah meninggal dunia kerana tidak melakukan kebaikan di dunia; ada sebahagiannya bila ditanya kenapa kamu berada dalam neraka Saqar? Kerana kami dulu tak solat.

Kisah Firaun yang mengisytiharkan taubatnya ketika tenggelam dalam Laut Merah juga ditolak oleh Allah SWT kerana masanya telah tamat. Kisah golongan yang menangguhkan sedekah yang meminta untuk dihidupkan semula dari kubur. Antara dialog mereka yang Allah SWT kongsikan kepada kita dalam ayat 100 surah Al-Mu’minun; “Moga aku dapat buat kebaikan yang dulu aku tinggalkan (tak sempat buat sebelum mati)”.

Tambahan, masa di akhir zaman menjadi cepat kerana barakahnya hilang. Masa berlalu pantas tapi kosong tak diisi dengan pahala.

Seorang ayah akan menyesal bila melihat anaknya yang mula meniti usia remaja tapi masih cuai dan culas dalam solat fardhu. Dia terlepas masa ketika anak itu berusia 7 tahun untuk menekankan solat dan dia juga terlepas usia 10 tahun untuk memberi amaran keras jika anaknya tak solat. Masa itu tidak akan kembali. Apatah lagi jika anaknya masih merangkak dalam membaca Al-Quran.

Seorang anak yang terlalu sibuk dengan kerjayanya hingga mengabaikan khidmat bakti kepada ibu bapanya yang masih hidup juga akan menyesal pada hari dia menerima panggilan berita kematian mereka. Dia terlepas melakukan kebaikan yang disamakan pahalanya dengan jihad di jalan Allah. Dia akan menyesal akan panggilan telefon yang tak dibuat kepada mereka berdua. Dia akan menyesal akan cuti hujung minggu yang tak dimanfaatkan untuk menziarahi mereka.

Dia akan menyesal kerana terlalu berkira untuk mengambil cuti daripada majikan untuk pulang ke kampung meluangkan masa bersama mereka. Dia akan menyesal atas setiap permintaan ibubapanya yang tak dipenuhi. Meskipun dia menangis air mata darah kerana menyesal, tapi masa itu tidak akan berulang. Sekali-kali tidak!

Ini yang kita hilang sekarang iaitu keberkatan. Kita ada waktu tapi Allah SWT tak berikan hidayah untuk kita lakukan kebaikan dalamnya. Kita diberikan keluasan rezeki tapi tiada sedekah dan derma. Kita diberikan anugerah anak dan cahayamata tapi kita tak berikan kepada mereka didikan Islam yang sempurna. Kita dinaikkan pangkat dan jawatan tapi makin sibuk hingga tiada kesempatan untuk beribadah maupun berkhidmat kepada ibubapa dan masyarakat.

Kita ada semuanya, tapi kita tiada pahala!

Ust Shuhaib ar-Rumy bin Selamat

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.