Assabiyah Melayu penting untuk mengangkat Islam di Malaysia

Setelah sebulan juga menelaah karya muqaddimah Ibn Khaldun dan meniliti kajian-kajian yang dibuat berkenaannya, banyak sebenarnya aplikasi didalam masyarakat melayu Islam kita di Malaysia ini yang dapat kita rungkaikan satu persatu.

Walaupun idea umran badwi dan umran hadari saya lihat lebih sesuai bagi negara di zon tengah, namun boleh kita kaji bahawa masyarakat atau tamadun melayu juga mempunyai sistem masyarakat yang lebih kurang sama. Malah penting bagi kita memahami sifat-sifat sosial masyarakat melayu islam, kitarannya, dan tabiatnya sebelum pergi jauh kepada perbincangan pembinaan negara.

Idea assabiyah ibn khaldun juga adalah satu realiti yang memang tidak dapat dipisahkan dari mana-mana tamadun bahkan memainkan peranan yang sangat penting bagi pembinaan tamadun. Assabiyah bukanlah boleh secara mudahnya disebut sebagai perasaan melampau perkauman atau kekitaan.

Ini jelas sekali tidak menepati maksud assabiyah ibn khaldun. Bahkan mendefinisikan assabiyah secara simplistik sebagai sikap perkauman yang melampau atau sifat yang buruk adalah satu kesilapan besar dalam memahami hakikat sebenar assabiyah yang dimaksudkan ibnu khaldun. Juga assabiyah bukan bermakna menindas kaum lain serta mencabul hak mereka.

Masyarakat melayu bumiputera mempunyai semangat assabiyah yang perlu dilorongkan kejalan yang boleh memberi manfaat untuk umat islam di Malaysia. Menafikan semangat atau sifat ini umpama menafikan fitrah manusia. Sifat assabiyah ini tidak boleh juga dipisahkan dengan islam, kerana islam menjaga sempadan-sempadan assabiyah tersebut.

Ibn khaldun menyatakan satu frasa yang penting berkenaan assabiyah “Tanpa asabiyyah syariat-syariat agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.

“Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia berada dalam lindungan kekuatan bangsanya” (illah fi man’ati qaumihi).

Masyarakat melayu islam tidak boleh dipisahkan dari kepimpinan negara dalam konteks di Malaysia atau tamadun melayu di Malay Archipelago. Pemisahan atau penghakisan sifat assabiyyah ini menyebabkan berlakunya permulaan kepada kejatuhan tamadun. Assabiyah ini juga akan terhakis apabila pemerintah mula mengamalkan gaya hidup mewah, mementingkan kroni atau parti. (Pelbagai faktor lagi yang tidak disebut)

Satu realiti yang dapat dilihat kini di Malaysia, sifat assabiyah ini kini cenderung kepada assabiyah parti. Dari parti PAS, UMNO, Amanah(PAN), PKR. Assabiyah parti ini tidak menepati makna sebenar assabiyah yang dikehendaki malah menyimpang dari hakikat matlamat assbiyah yang disebut ibnu khaldun.

Assabiyah melayu itu penting bagi pembangunan negara namun bukan untuk kepentingan parti. Kita perlu menolak parti yang tidak memahami realiti assabiyah ini sehingga menolak dasar assabiyah masyarakat dan juga yang menyalahgunakan semangat assabiyah ini.

 

Ust Amirul Asyraf

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Jordan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 2378 access attempts in the last 7 days.