IbadahSoal Jawab

Membaca al-Quran tanpa menutup aurat

Soalan: Ustaz, apa hukum kita membaca Quran tanpa pakai tudung atau terdedah sebahagian aurat?

Jawapan:

Secara umumnya, ulama bersetuju bahawa adalah harus untuk membaca al-Quran dalam keadaan terzahir aurat. Ini kerana tidak ada sebarang dalil yang menegah perkara tersebut. Tetapi jika dia membaca Quran ketika solat atau berada pada satu tempat umum yang ada kemungkinan untuk lelaki melihatnya maka hendaklah dia menutup aurat tersebut.

Namun Islam itu hadir bukan sekadar dengan fiqh (hukum hakam) semata-mata, padanya juga adanya adab (akhlak) yang menjadi suatu lambang terhadap diri kita. Diantara adab tersebut adalah dengan berpakaian yang indah serta disukai oleh Allah swt saat kita membaca kalam-Nya. Berpakaian menutup aurat saat membaca al-Quran adalah salah satu bentuk memuliakan syiar (lambang) kepada Islam itu sendiri.

ذَٲلِكَ وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَـٰٓٮِٕرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ

Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin. (Surah al-Hajj:32)

Juga menjadi satu kebiasaan samada dikalangan sahabat atau salafussoleh, apabila mereka ingin membaca al-Quran bahkan ketika membaca Hadis Nabi SAW pun mereka akan berada dalam keadaan yang paling beradab sebagai memuliakan dan menghormati kedua sumber utama syariat Islam ini.  Al-Tirmidzi al-Hakim menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul:

ومن حرمته أن يتلبس كما يتلبس للدخول على الأمير لأنه مناج

Diantara cara kita menunjukkan beradab dengan al-Quran adalah kita berpakaian seperti mana kita berpakaian saat ingin bertemu seorang raja untuk meminta sesuatu permintaan

وكان أبو العالية إذا قرأ اعتم ولبس وارتدى واستقبل القبلة

Diceritakan bahawa Abul ‘Aliyah apabila ingin membaca al-Quran beliau mengenakan serban, mengenakan pakaian yang indah dan akan menghadap kiblat.

Moga dengan ini kita bukan sahaja menjadi orang yang mengikut hukum hakam agama, tetapi turut sama mendidik diri kita dengan akhlak mulia serta menghormati syiar agama yang menjadi antara sebab besar diutus Baginda saw.

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *