Hukum makan sahur ketika azan Subuh

Soalan: Ustaz, saya ada ternampak sebahagian orang masih makan sahur ketika azan subuh telah berkemundang dan mereka berhujah ianya dibenarkan selagi mana azan tersebut belum selesai, adakah benar perkara tersebut? katanya ada hadis yang membenarkan perkara tersebut.

Jawapan:

Secara asasnya, tiada perselisihan dikalangan Fuqaha’ bahawa waktu berpuasa (menahan diri daripada makan dan minum) adalah daripada terbitnya fajar sadiq hinggalah terbenamnya matahari. Ini berdasarkan firman Allah swt yang sebut secara jelas:

وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِ‌ۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِ‌ۚ

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib) (al-Baqarah: 187)

Juga hadis Nabi saw yang menyebut:

فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّن اِبْن أُمّ مَكْتُوم , وَلَمْ يَكُنْ يُؤَذِّن إِلا بَعْد طُلُوع الْفَجْر

“Makan dan minumlah hingga ummu maktum melaunkan azan, dan dia tidak akan melaunkan azan melainkan setelah terbitnya fajar” (riwayat Bukhari)

Jadi apabila saat terbitnya fajar sadiq menjadi kewajiban baginya berpuasa dan jika di dalam mulutnya ada makanan hendaklah dia membuangnya. Apabila dia melanggar perkara ini maka akan terbatallah puasanya. Ibnu Qayyim dalam Tahzib al-Sunan menyatakan perkara ini tiada perselisihan antara ulama mazhab.

Namun dalam masa yang sama, perlu kita fahami dengan betul di sini bahawa yang dimaksudkan tempoh mulanya puasa adalah dengan terbit fajar sadiq bukanlah dengan laungan azan. Maka sebagai contoh apabila seorang muazzin azan 10 minit lebih awal daripada terbitnya fajar sadiq maka orang yang sedang sahur ketika waktu tersebut masih dikira sah puasanya tanpa perselisihan ulama. Ini kerana dia makan sebelum terbitnya fajar sadiq.

Maka dalam isu ini ianya perlu dilihat kepada keyakinan seseorang. Jika dia yakin bahawa saat azan dilaungkan itu sebenarnya fajar sadiq masih belum terbit maka dia masih dibolehkan makan ketika itu. Namun keyakinannya itu hendaklah berdiri atas dasar hujah yang jelas (ilmu), seperti kepakaran dia dalam menilai fajar sadiq serta dia mahir dalam melihat tanda-tanda bermulanya waktu subuh. Inilah selari dengan kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Keyakinan tidak hilang semata-mata dengan syak

Penentuan azan pada hari ini kebanyakkan melihat kepada kiraan jadual waktu solat yang ditentukan oleh ahli falak. Maka kiraan tersebut hanyalah berbentuk “sangkaan”, “keyakinan” hanya wujud dengan melihat secara sendiri bahawa fajar tersebut telah terbit. Jadi “keyakinan” fajar belum terbit yang berdiri dengan ilmu tidak akan hilang dengan laungan azan subuh yang berdiri dengan “sangkaan”.

Tetapi untuk orang yang tidak mempunyai pengetahuan atau kepakaran dalam hal ini maka baginya hendaklah merujuk berdasarkan penentuan waktu subuh oleh ahli falak iaitu melihat kepada jadual waktu solat. Kerana penentuan itu mempunyai hujah berbanding keraguannya yang tidak mempunyai sebarang hujah.

فَسۡـَٔلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.) (An-Nahl:43)

Juga tidak makan pada saat azan dilaungkan adalah satu bentuk tindakan berhati-hati yang dipuji oleh syarak itu sendiri. Perkara inilah yang banyak disarankan oleh kebanyakkan ulama kerana ianya lebih selamat.

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لا يَرِيبُكَ

Tinggalkan hal yang meragukanmu kepada yang tidak meragukanmu.” (HR. An Nasai dan Tirmidzi

Adapun berkaitan adanya hadis dihujahkan dibenarkan makan saat azan dilaungkan mungkin berdasarkan hadis ini:

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

“Ketika salah seorang daripada kamu mendengar azan sementara wadah (minuman) masih ada ditangannya, maka janganlah diletakkan sampai ia menyelesaikan hajat darinya (meminumnya)”(riwayat Ahmad)

Imam an-Nawawi menyebut berkenaan hadis ini di dalam kitab al-Majmuk bahawa yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah azan yang pertama. Beliau meriwayatkan bahawa al-Baihaqi pernah menyebut berkeaan hadis dengan mengatakan:

وهذا إن صح محمول عند عوام أهل العلم على أنه صلى الله عليه وسلم علم أنه ينادي قبل طلوع الفجر بحيث يقع شربه قبيل طلوع الفجر

Hadis ini kabanyakkan ulama menafsirkan bahawa Baginda saw mengetahui bahawa azan yang berkemundang saat itu adalah azan sebelum terbit fajar (azan yang pertama) maka minuman tersebut adalah sebelum terbit fajar.

Jadi hadis ini sebenarnya berbicara dalam konteks “imsak” iaitu satu tempoh berhati-hati sebelum terbitnya fajar sadiq, bukanlah berbicara pada konteks setelah terbitnya fajar. Kalaulah ianya membawa maksud perkara tersebut maka akan berlaku pertembungan antara ayat Quran dan Hadis dinyatakan sebelum ini yang telah sebut secara jelas akan keharaman makan dan minum saat fajar telah terbit.

Kesimpulannya ialah yang terbaik (selamat) dalam hal ini adalah dia merujuk kepada penentuan jadual solat yang telah disediakan oleh ahli falak dan berhenti makan sebelum waktu tersebut walaupun azan belum dilaungkan (boleh jadi kelewatan muazzin atas sebab tidak disengajakan). Juga makan ketika dilaungkan azan atau setelah terbitnya fajar sadiq tiada sebarang pandangan ulama yang membenarkan perkara ini dan ianya boleh membawa kepada batalnya puasa tersebut.

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 264 access attempts in the last 7 days.