Bergembiralah wahai wanita Muslimah di bulan Ramadan

Sebagaimana yang kita semua maklumi, wanita merupakan tulang belakang keluarga yang memainkan peranan yang penting di dalam rumahtangga. Justeru itu banyak jugalah tugas-tugas rumahtangga yang perlu dilakukan oleh wanita bagi memastikan keluarganya hidup sempurna, selesa dan bahagia. Jika dihitung, tidak akan habis kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan, dari memasak, mengemas, melayan suami dan mendidik anak-anak.

Hal ini menjadi kerisauan bagi sesetengah wanita setiap kali tibanya bulan Ramadan yang mulia, yang mana di dalam bulan ini Allah  menjanjikan pahala yang berganda atas setiap amalan ibadah yang dikerjakan. Ada yang mempersoalkan, tidak adillah kalau begitu, lelaki akan ada banyak masa untuk beribadah dan mendapatkan segala kelebihan itu, sedangkan wanita kebanyakan masanya digunakan untuk memenuhi tuntutan rumahtangga seperti memasak, mengemas, menyiapkan suami dan anak-anak untuk ke tempat kerja dan sekolah, dan sebagainya.Setelah selesaikan segala tanggungjawab tersebut, wanita sudah keletihan .

Tambahan pula wanita juga akan didatangi oleh haid yang akan menghalang mereka untuk solat dan berpuasa. Jadi bagaimanakah wanita hendak memperoleh ganjaran yang berganda itu?

Usahlah bimbang wahai wanita sekalian,

Antara keindahan agama Islam yang syumul ini, dan diantara tanda keagungan sifat Ihsan Allah swt kepada hamba-hambanya,Allah telah menetapkan ganjaran dan pahala untuk setiap amalan yang dilakukan sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt.

Tidak kira lah amalan tersebut adalah ibadah khusus seperti solat, puas dan zakat, ataupun ibadah umum yang lain seperti memasak, mengemas dan lain-lain apabila ianya dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt.

Malahan terdapat kelebihan-kelebihan lain yang boleh direbut oleh wanita yang disediakan oleh Allah swt bagi mereka walaupun dalam keadaan mereka haidh dan tidak dapat berpuasa. Antaranya ialah:

1. Pahala ibadah ketika berada di dalam haidh

Diantara rahmat di Islam terhadap wanita ada dinyatakan dalam satu hadis, Rasulullah saw pernah menyebutkan bahawa seseorang yang menjadikan suatu kebiasaan dalam melakukan amal kebaikan namun secara tiba-tiba dia jatuh sakit atau berada dalam pemusafiran maka dia masih lagi mendapat pahala amalan yang telah menjadi kebiasaannya walaupun pada waktu itu dia tidak dapat melakukan amalan tersebut.

من حديث أبي موسى  “رضي الله عنه” أن رسول الله “صلى الله عليه وسلم” قال: “إذا مرض العبد أو سافر كتب له مثل ما كان يعمل مقيمًا صحيحًا”

Daripada Abu Musa ra: Rasulullah saw telah bersabda: Apabila sakitnya seorang hamba atau musafir seorang itu maka baginya pahala terhadap amalan (kebiasaannya) yang dilakukan pada waktu dia muqim (tidak musafir) (Hadis riwayat Bukhari)

Ulama telah menafsirkan haid juga adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan di dalam hadis ini. Maka ianya adalah satu berita gembira untuk para wanita kerana baginya ganjaran pahala ibadah yang tidak dapat dilakukan pada waktu haid tersebut serta dia mempunyai ruang untuk menambah ibadah lain ketika itu.

2. Menyediakan makanan sahur dan berbuka untuk keluarga.

Bahkan, tidak perlu bermewah sangat pun dalam hidangan, cukup hanya dengan memberi sesuap nasi, segelas air, sebiji kurma atau kuih, itu pun bisa menjadi ladang pahala.

Inilah janji pahala yang Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sebutkan,

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”

Bayangkanlah jika di dalam satu keluarga itu ada 4 atau 5 orang berpuasa maka betapa besarnya pahala yang disediakan oleh Allah swt untuk ibu-ibu yang bertungkus lumus menyediakan hidangan bagi mereka.

3. Menyediakan kelengkapan suami untuk pergi kerja dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, dan berpesan semasa menghantar mereka dan menggalakkan mereka unuk berzikir setiap waktu.

Maka dia akan memperoleh pahala dari situ. Rasulluah saw bersabda:

 من سن في الإسلام سنة حسنة كان له أجرها وأجر من عمل بها من بعده لا ينقص ذلك من أجورهم شيئا، ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده لا ينقص ذلك من أوزارهم شيئا خرجه مسلم في صحيحه.

Barang siapa yang melakukan perbuatan yang baik maka dia akan mendapat pahala dan pahala orang yang melakukan itu setelahnya tanpa kurang sedikitpun. Barangsiapa yang melakukan perbuatan buruk maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang yang menirunya tanpa kurang sedikitpun. (Hadits riwayat Muslim)

Bayangkan betapa besarnya ganjaran yang menanti jika pakaian tersebut yang digunakan untuk amal ibadah, tarawih, qiamullail, membaca al-Quran dan bermacam lagi. Ya, tanpa ianya berkurang sedikitpun!

4. Memenuhi masa-masa yang digunakan untuk melaksanakan tugasan rumah seperti memasak, mengemas dan membasuh pakaian dengan zikir-zakir kepada Allah swt.

Perkara ini boleh dilakukan samada dengan berzikir ketika membuat tugasan tersebut atau memasang bacaan al-Quran di radio sebagai menghidupkan suasana ibadah di dalam rumah tersebut. Pernah suatu masa Saidatina Fatimah mengadu pada bapanya Rasulullah saw akan beratnya melakukan tugas-tugas rumah, lalu di jawab oleh Baginda dengan menyebut:

Baginda bersabda: “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akhbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim)

5.  Memotivasi suami untuk terus melakukan amal kebaikan

Dikala muncul leka dan lalai suami dalam menghidupkan malam,sebagai seorang isteri segera mengingatkan keutamaan qiam Ramadan dengan cara yang terbaik dan penuh hikmah.Contohilah wanita solehah ‘Amurah isteri habib al Ajmi

قم يارجل قفد ذهب الليل وجاء النهار وبين يديك طريق بعيد وزاد قليل وقوافل الصالحين قد سارت قدامنا ونحن قد بقينا

Bangunlah wahai lelaki malam akan segera berlalu dan pagi akan tiba di hadapan ada perjalanan jauh yang akan ditempuhi sementara bekalan masih sedikit, kafilah –kafilah orang soleh telah berlepas jauh kehadapan sedangkan  kita telah ketinggalan.

Subhanallah, Maha Pemurahnya Allah swt kepada hamba-hambanya yang meberikan keluasan yang seluasnya dalam beribadah. Rugilah bagi sesiapa yang menyempitkan pemikirannya bahawa ganjaran di bulan Ramadan yang mulia ini hanya boleh diperolehi dengan ibadah khusus sahaja.

Imam Ibnu Qayyim rahimahullah pernah menyebut: “orang yang sedar, hal kebiasaan (adat) mereka menjadi ibadah, manakala orang yang lalai, ibadah mereka akan menjadi adat.”

Oleh itu atas keluasan rahmat ini jugaah perlu untuk difahami bahawa nilai puasa dan ibadah lain dipengaruhi juga oleh tiga faktor,iaitu faktor keikhlasan ,faktor kesempurnaan dan faktor kesungguhan melakukannya.Semakin ikhlas beramal semakin besar pahalanya.semakin tinggi faktor kesulitan dan hambatan melakukan suatu amal sehingga menuntu kesungguhan dan keseriusan yang tinggi melakukannya semakin tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Moga Allah terus menilai setiap amalan kita di bulan pesta ibadah ni sebagai amalan kebaikan!

Ustazah Hasanah binti Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 264 access attempts in the last 7 days.