Apakah yang afdhal bagi orang musafir: berbuka atau berpuasa?

Tulisan ini adalah terjemahan kepada tulisan Syiekh dr Yusuf al-Qardawi dalam kitab Fiqh al-Siyam (Puasa).

Pandangan Ulama’

Sesungguhnya Jumhur ulama’ berkhilaf (berbeza pandangan) dalam menentukan yang manakah di antara dua perkara ini lebih afdal bagi orang yang bermusafir : Puasa atau Berbuka?

Pandangan Pertama: Sebahagian daripada mereka berkata bahawa Puasa lebih afdal, ia adalah pandangan Abu Hanifah, Malik dan as-Syafie, dan ini bagi mereka yang mampu dan tidak memberatkannya.

Hujah mereka: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah berpuasa ketika bermusafir dan baginda tidak akan mengambil untuk dirinya melainkan dengan perkara yang afdal. Kerana seseorang itu kadang-kadang terlupa untuk menggantikannya lalu datang ajal sedangkan hutang puasanya masih tidak terganti. Adalah merupakan satu kesalahan bagi mereka yang (memegang pandangan ini) berdalilkan firman Allah s.w.t: “Dan berpuasa lebih baik bagimu” [Al-Baqarah: 184], kerana mereka meletakkan dalil bukan pada tempatnya.

Pandangan Kedua: Al-Auzai’e dan Ahmad serta Ishak pula berpandangan bahawa Berbuka lebih afdal sebagai satu amalan mengambil rukhsah dan Allah menyukai orang yang mendatangi rukhsah sebagaimana sabda baginda di dalam beberapa riwayat: “Bagi kamu rukhsah Allah yang telah diringankan ke atas kamu.” Dan di dalam kisah Hamzah Al-Aslamiy: “Barang siapa yang berbuka maka ia adalah baik, dan barang siapa yang ingin berpuasa maka tidak ada dosa baginya.” Di antara kedua ayat ini ada perbezaan.

Pandangan Ketiga:Umar Abdul Aziz, Mujahid dan Qatadah berpandangan bahawa yang lebih afdal antara keduanya adalah apa yang lebih mudah baginya.

Dan ia adalah pandangan yang kuat dan ia dipilih oleh Ibnu al-Mundzir.

Pandangan Keempat: Berkata sebahagian para ulama’ bahawa orang bermusafir diberi pilihan sama ada ingin berpuasa atau berbuka dan keduanya di sisi haknya adalah sama.

Apa yang menyokong perkara di atas adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim, daripada Hamzah Al-Aslamiy bahawasanya beliau telah berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku pemilik tunggangan, aku merawatnya, bermusafir dengannya, meminjamkannya dan boleh jadi aku melaksanakan semua itu dalam keadaan aku berada di dalam bulan Ramadhan, aku merasakan aku kuat, aku mendapati diriku lebih mudah untuk berpuasa daripada aku menangguhkannya (qada’) yang akhirnya akan menjadi hutang. Lalu baginda berkata : “Mana-mana daripada itu mengikut apa yang engkau kehendaki”.


Penilitian dan Tarjih

Yang aku (Syiekh Dr Yusuf al-Qardawi) rajihkannya ialah apa yang disebutkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz (Pandangan Ketiga): Kerana Nabi s.a.w tidak akan memilih di antara dua perkara melainkan akan memilih yang lebih mudah.

Barang siapa yang mudah baginya berpuasa di saat manusia lain juga turut berpuasa dan sukar baginya untuk menqada’nya (menggantikannya) selepas itu di mana dia akan berpuasa di saat manusia tidak berpuasa. Maka puasa baginya adalah lebih afdal. Barang siapa yang sukar baginya berpuasa sekarang seperti orang yang bermusafir mengikut jalan darat dan seumpamanya serta mudah baginya untuk qadha’, maka berbuka baginya adalah lebih afdal.

Akan tetapi aku melihat di sana ada beberapa pertimbangan yang merajihkan (menguatkan) yang puasa itu lebih afdal dan juga di sana ada pertimbangan lain yang merajihkan (menguatkan) yang berbuka itu lebih afdal. Tidak ada masalah sekiranya kita menjelaskannya kerana musafir amat penting pada zaman kita hari ini.

Bilakah berpuasa menjadi lebih afdal?

Adapun yang menjadikan berpuasa itu lebih rajih (kuat) apabila seseorang itu risau akan dirinya sibuk daripada untuk menqada’ puasanya, atau malas melakukannya. Maka lebih selamat baginya agar berpuasa mengambil ia sebagai azimah. Juga bagi orang yang bermusafir secara santai yang tidak mendapati kesusahan di dalam permusafirannya seperti musafir dengan menaiki kapal terbang pada hari ini yang tidak ada rasa penat.

Dan begitu juga bagi mereka yang bermukim sesebuah di negara, walaupun ia dikira sebagai orang yang bermusafir selagi mana ia tidak melaksanakan sesuatu perkara yang menuntut usaha kerasnya.

Dan juga bagi jenis musafir yang pelbagai. Sebagai contoh musafir pada kadar jarak yang bukan ditetapkan oleh jumhur, yang telah ditentukan kadarnya sebanyak 90 kilometer. Barang siapa yang bermusafir di bawah jarak tersebut, maka baginya lebih baik untuk tidak berbuka dan kes yang serupa dengan ini pada kebiasaannya tidak dinamakan sebagai orang yang bermusafir.

Seperti ini juga bagi mereka yang pekerjaannya adalah bermusafir atau memerlukan kepada permusafiran yang berpanjangan seperti juruterbang kapal terbang, pramugara, nakhoda kapal dan kelasinya serta pemandu kereta sewa seperti teksi. Mereka ini walaupun dibenarkan bagi mereka untuk berbuka dengan sifat mereka sebagai orang yang bermusafir, bagi mereka lebih baik untuk berpuasa sekiranya mereka tidak mendapati kesukaran, kerana boleh jadi juga tidak mudah untuk mereka berpuasa.

Bilakah berbuka lebih afdal ketika bermusafir?

Di sana ada beberapa perkara yang menguatkan afdalnya berbuka bagi yang bermusafir, di antaranya :

1. Apabila ia mendapati kesukaran yang amat apabila berpuasa. Sebagai contoh orang yang bermusafir mengikut jalan darat pada musim panas yang terdedah kepanasan yang melampau. Demikian juga orang yang bermusafir yang menaiki kapal terbang bermusafir daripada timur ke barat membuatkan harinya panjang kerana perbezaan waktu dan pagi hari yang panjang di tempat musafir.

Maka berpuasa di dalam hal ini makruh, boleh sampai kepada haram sekiranya semakin bertambah kesukaran yang sampai kepada had memudaratkan orang yang bermusafir.

Di dalam isu ini, ada satu hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah, beliau berkata : Rasulullah s.a.w pernah di dalam satu permusafiran melihat ramai orang bersama seorang lelaki diteduhi dengan cahaya matahari. Lalu Nabi bertanya : “Mengapa dengan lelaki ini?.” Mereka berkata : Dia berpuasa. Lalu baginda bersabada: “Tidak ada kebaikan berpuasa ketika musafir.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih, Al-Lu’lu’u Wal Marjan, 681)

Lafaz hadis ini jika diambil secara umumnya ia memberikan kita isyarat penafian kebaikan daripada berpuasa di dalam apa jua musafir. Ini membawa makna bahawa di dalamnya terdapat dosa. Namun sebab wurud hadis dan konteksnya serta hadis-hadis yang lain pada tajuk ini menunjukkan yang dikehendaki daripada jenis musafir yang membawa kesukaran yang amat jika berpuasa padanya. Maka bukanlah daripada kebaikan untuk berpuasa dalam keadaan seperti ini.

2. Bermusafir secara berkelompok yang kelompok ini memerlukan kepada khidmat dan pertolongan badan dan serta sosial yang mana puasa menghalang secara menyeluruh atau sebahagian untuk dia melaksanakan tugas tersebut. Maka orang yang tidak berpuasa terkesan dengan perkara tersebut dan menghalang orang yang berpuasa daripada mendapat ganjarannya.

Maka yang lebih utama di sini bagi orang yang bermusafir adalah berbuka kerana dia menyertai saudaranya di dalam memberikan khidmat, dan agar tidak menjadi beban ke atas mereka.

Dan diriwayatkan daripada Syeikhan (Bukhari dan Muslim) di dalam lafaz Muslim daripada Anas beliau berkata : Sesungguhnya kami bersama Rasulullah s.a.w dan dalam kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang tidak berpuasa. Lalu kami berhenti di satu perhentian di hari yang panas. Yang paling mendapat teduhan adalah mereka yang berteduh dengan pakaian mereka, ada dalam kalangan kami yang menahan cahaya matahari dengan tangannya. Beliau berkata : Lalu orang yang berpuasa rebah dan orang yang tidak berpuasa bangkit, lalu mereka memasang khemah dan memberi minum pada tunggangan.

Dalam satu riwayat yang lain : Adapun orang yang berpuasa tidak melaksanakan apa-apa, manakala orang yang tidak berpuasa mereka menguruskan tunggangan, memberikan khidmat, dan bantuan. Lalu nabi s.a.w bersabda : “Orang yang tidak berpuasa hari ini mendapat ganjaran”. (Hadis Muttafaqun ‘alaih, Al-Lu’lu Wal Marjan)

Pahala telah dimiliki oleh mereka yang tidak berpuasa kerana mereka yang melaksanakan khidmat untuk saudara mereka kerana tenaga dan kekuatan mereka. Lalu mereka menguruskan tunggangan, iaitu unta tunggangan yang membawa mereka dan membawanya menuju air untuk diberi minum dan seumpamanya. Maka (امتهنوا وعالجوا) di dalam hadis : Iaitu menyerahkan diri mereka untuk memberikan khidmat pada pekerjaan dan kerja membersihkan, memasak dan memberikan keperluan kepada mereka yang berhajat kepada makanan dan minuman juga pada tunggangan mereka.

3. Ketika dengan berbuka itu memberikan ilmu tentang sunnah dan memperkenalkan mengenai rukhsah ketika mana tersebarnya dalam kalangan sebahagian manusia bahawa berbuka itu tidak boleh ketika bermusafir atau tidak layak untuk orang yang beragama serta mereka menafikan bagi sesiapa yang berbuka ketika bermusafir. Maka berbuka ketika ini lebih afdal terutamanya bagi mereka yang dijadikan ikutan dan diambil darinya ilmu dan kebaikan. Bahkan menurut Ibnu Kathir berbuka bagi orang ini hampir kepada wajib.

Sekiranya dia menjauhi sunnah dan melihat berbuka itu makruh, maka wajib ke atasnya untuk berbuka, haram bagi berpuasa seperti mana datang di dalam Musnad Imam Ahmad dan selainnya daripada Ibnu Umar dan Jabir serta selain mereka berdua : “Barang siapa yang menolak rukhsah daripada Allah, baginya dosa seperti bukit Uhud.” (Tafsir Ibnu Kathir – 217/1)

Juga di dalam hadis : “Barang siapa yang tidak berkehendak akan sunnahku maka ia bukanlah dalam kalanganku.” (Diriwayatkan oleh Bukhari daripada Anas)

Demikian juga merupakan satu kewajipan agar peringkat-peringkat amalan dan hukum-hakam syariah sentiasa terjaga mengikut kondisinya seperti yang telah didatangkan oleh syariat. Maka perkara yang fardu (wajib) adalah fardu (wajib), yang sunat adalah sunat, yang azimah adalah azimah dan yang rukhsah adalah rukhsah.

Dan tidak boleh seseorang manusia percaya bahawa yang sunat itu adalah wajib atau sebaliknya. Seperti mana juga tidak boleh untuk seseorang menganggap rukhsah adalah suatu yang dilarang atau wajib apabila berlaku sesuatu daripadanya. Maka ke atas orang yang berilmu untuk merawatnya dengan ilmu dan amal. Apa yang dimaksudkan dengan ilmu adalah: Memberikan penjelasan dan menyampaikan dengan kata-kata melalui mulut ataupun penulisan. Yang dimaksudkan dengan amal pula: Orang alim yang diikuti hendaklah meninggalkan perkara sunat di dalam sesetengah ketika sehingga orang tidak percaya yang ia adalah fardhu (wajib) dan hendaklah mengambil rukhsah sehingga tidak diabaikan oleh manusia lalu mereka mati.

4. Ketika bersama sahabat handai di dalam mengambil rukhsah dan berbuka. Dan adalah merupakan suatu yang tercela berpuasa seorang diri tanpa mereka, maka tidak baik baginya berpuasa seorang diri kerana padanya terdapat keanehan daripada jemaah dari satu segi dan padanya juga dirisaukan riya’ masuk ke dalam diri orang yang berpuasa atau ditohmah sebagai orang yang riya’ dari satu segi yang lain.

Dan perkara ini disokong ketika mana mereka bersama menyertai dalam memberikan nafkah, dan menjadi kebiasaan bagi mereka untuk mengambil bahagian makanan secara bersama serta sukar bagi mereka sekiranya sebahagian mereka menyendiri di dalam makan berbuka mahupun sahur.

Di dalam hadis : “Pertolongan Allah bersama dengan Jemaah.”

5. Ketika pemimpin mengarahkan untuk berbuka kerana kecaknaan dan mengambil penjagaan terhadap keadaan mereka. Disunatkan pada ketika ini untuk mentaatinya untuk menzahirkan jemaah di dalam satu gambaran keluarga yang satu, bersatu padu dari segi zahir dan hakikat.

Apabila pemimpin bertegas arahan untuk berbuka dan mewajibkannya, maka wajib untuk mentaatinya pada perkara tersebut dan haram mengingkarinya dan ia dikira sebagai satu perbuatan maksiat.

Di dalam perkara ini datang hadis daripada Jabir bin Abdillah : Bahawa Rasulullah s.a.w telah keluar pada tahun pembukaan ke kota Mekah pada bulan Ramadan dalam keadaan baginda berpuasa sehingga sampai di Kura’ al-Ghamim (tempat di antara Mekah dan Madinah), lalu manusia pun berpuasa. Kemudia baginda meminta secawan air lalu ia mengangkatnya sehingga manusia melihatnya kemudian baginda minum.. Lalu dikatakan pada baginda selepas daripada itu : Sesungguhnya ada sebahagian manusia masih lagi berpuasa! Bagi berkata : “Mereka itu orang yang derhaka, mereka itu orang yang derhaka.”

Di dalam satu riwayat: Dikatakan pada baginda: Sesungguhnya sebahagian manusia mendapati kesukaran untuk berpuasa dan mereka melihat apa yang engkau laksanakan. Lalu baginda meminta secawan air… sehingga ke akhir hadis. (Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Bab Siyam – 785/2)

Dan jelas daripada periwayatan-periwayatan ini bahawasanya Nabi menyuruh mereka pada awalnya untuk berbuka, lalu mereka tidak bersegera untuk berbuka kerana mengambil azimah, lalu nabi meminta segelas air lalu baginda minum agar ia menjadi ikutan. Maka bertemulah perbuatan dan kata-kata dan oleh hal demikian dinamakan mereka yang tidak mematuhi arahan nabi untuk berbuka selepas itu sebagai: orang yang derhaka.

6. Musafir ini di dalam keadaan jihad dan menentang musuh yang penting. Peperangan ini  akan membawa kepada peperangan yang agak sengit dan berbuka lebih memberikan kekuatan bagi orang yang berjihad dan membantu mereka untuk berhadapan dengan musuh dan bersabar dengannya sehingga Allah memenangkan Islam yang telah ditetapkan akan berlakunya. Bahkan boleh jadi wajib di sini sekiranya berpuasa melemahkan orang yang berjihad atau mengurangkan kudrat mereka.

Maka apabila pemimpin mengarahkan untuk berbuka, maka berbuka adalah merupakan satu azimah dan berpuasa ketika itu membawa kepada dosa.

Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:  Kami bermusafir bersama Rasulullah s.a.w ke Mekah dalam keadaan kami sedang berpuasa. Beliau berkata: Lalu kami turun di sebuah tempat persinggahan lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya kamu semakin hampir dengan musuh kamu dan berbuka adalah lebih kuat bagi kamu.” Dan ia adalah merupakan satu rukhsah lalu sebahagian daripada kami berpuasa dan sebahagian daripada kami berbuka. Kemudian kami turun di sebuah tempat persinggahan lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu sedang memerangi musuh kamu, berbuka itu lebih menguatkan kamu maka berbukalah.” Dan ia adalah sebuah azimah lalu kami berbuka kemudian saya melihat kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w selepas saripada itu ketika bermusafir (Sahih Muslim di dalam Bab Siyam – 2/789, Hadis no. 1120)

Terjemah dan diolah oleh:

Ust Luqman Afifi bin Sabri

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 2378 access attempts in the last 7 days.