Apakah itu kaya hati?

Soalan: Salam Ustaz,  Apa maksud kaya hati?

Jawapan:

Untuk menjawab pertanyaan ini, saya kongsikan hadis Nabi SAW dan kata-kata Ulamak :

Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

“Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia. Namun kaya (ghina) adalah hati yang selalu merasa cukup.”
[HR. Bukhari dan Muslim]

Ibnu Baththal berkata :
“Hakikat kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta, kerana kebanyakan manusia yang dilapangkan hartanya tidak puas dengan harta yang telah dimilikinya, sehingga selalu berusaha untuk menambah hartanya dan ia tidak peduli dari mana mendapatkannya. Akan tetapi kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa, iaitu orang yang merasa cukup terhadap apa yang telah diberikan kepadanya (qona’ah), redha dan tidak tamak dalam mencari harta. Maka ia adalah orang kaya yang sebenarnya.”

Diungkapkan oleh para ulama pula :

غِنَى النَّفْس مَا يَكْفِيك مِنْ سَدّ حَاجَة فَإِنْ زَادَ شَيْئًا عَادَ ذَاكَ الْغِنَى فَقْرًا

“Kaya hati adalah merasa cukup pada segala yang engkau hajati. Jika lebih dari itu dan terus engkau cari, maka itu bererti bukanlah ghina (kaya hati), namun malah fakir (miskinnya hati).”
[Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani, 11 /272, Darul Ma’rifah]

An Nawawi rahimahullah mengatakan :

“Kaya yang terpuji adalah kaya hati, hati yang selalu merasa puas dan tidak tamak dalam mencari kemewahan dunia. Kaya yang terpuji bukanlah dengan banyaknya harta dan terus menerus ingin menambah dan terus menambah. Kerana barangsiapa yang terus mencari dalam rangka untuk menambah, ia tentu tidak pernah merasa puas. Sebenarnya ia bukanlah orang yang kaya hati.”
[Al Minhaj Syarh Shahih Muslim bin Al Hajjaj, Yahya bin Syarf An Nawawi, 7 /140, Dar Ihya’ At Turath]

Moga mendapat inspirasi dan pencerahan.

Wallahu a’lam

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1874 access attempts in the last 7 days.