KolumnisUtama

Pendokong Islam Liberal lebih teruk daripada Firaun

Pertembungan antara al-Haq (kebenaran) dan al-Batil (kesesatan) bukanlah perkara baru atau sejak diturunkan Islam pada nabi Muhammad, ianya sudah berlaku berzaman lagi sejak bermulanya kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Rasul yang diutuskan pada setiap kelompok umat manusia hadir dengan membawa al-Haq sebagai suatu panduan kepada setiap umat yang berada diatas gelapnya kesesatan. Maka pada saat al-Haq itu hadir ketika itulah bermulanya penentangan manusia terhadap kebenaran tersebut, disitulah bermulanya pertembungan al-Haq dan al-Batil.

Inilah yang Allah swt rakamkan kebanyakkan kisah-kisah di dalam Al-Quran seperti kaum Ad, kaum Tsamud, Bani Rasib, Sodom, Kana’an, Firaun dan banyak lagi. Kesemua kisah ini memberi gambaran kepada kita bagaimana pertembungan ini berlaku sejak berzaman lagi yang disimpulkan oleh Allah swt di dalam Surah al-Rum ayat 47:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مِن قَبۡلِكَ رُسُلاً إِلَىٰ قَوۡمِهِمۡ فَجَآءُوهُم بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ فَٱنتَقَمۡنَا مِنَ ٱلَّذِينَ أَجۡرَمُواْ‌ۖ وَكَانَ حَقًّا عَلَيۡنَا نَصۡرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.”

Menariknya apabila kita mengamati pertembungan pada umat terdahulu, kebanyakkannya berlaku secara langsung atau berhadapan. Rasul yang hadir itu menyeru kepada kebenaran lalu mereka menolak mentah-mentah kebenaran yang Rasul tersebut bawa dengan pelbagai hujah, samada merasakan agama nenek moyang merekalah yang benar, atas kesombongan diri sendiri atau ada yang menolak dengan merasakan diri merekalah yang menjadi tuhan. Yang pasti kesemua mereka menolak kebenaran tersebut sambil menunjukkan secara jelas bahawa mereka berada di dalam kandang kebatilan.

Namun disana pada satu zaman wujud satu kelompok manusia yang telah merubah cara pertembungan ini berlaku. Mereka merubahnya kerana mereka mendapati ada satu cara lain untuk menghancurkan kebenaran itu dengan cara yang lebih halus dan mendasar berbanding pertembungan secara berhadapan. Iaitulah dengan menggunakan kebenaran untuk merosakkan kebenaran itu sendiri. Mereka inilah Bani Israel atau disebut sebagai bangsa Yahudi.

أَفَتَطۡمَعُونَ أَن يُؤۡمِنُواْ لَكُمۡ وَقَدۡ كَانَ فَرِيقٌ۬ مِّنۡهُمۡ يَسۡمَعُونَ ڪَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ ۥ مِنۢ بَعۡدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ

(Sesudah kamu wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)? (An-Nisa’: 75)

Mereka ini merubah maksud-maksud kitab tersebut supaya selari dengan kehendak hawa nafsu mereka. Supaya akhirnya memberi kemenangan kepada kebatilan yang mereka imani selama ini. Mungkin inilah menjadi asbab mengapa Allah swt banyak menceritakan perihal Bani Israel ini lebih berbanding umat-umat yang lainnya. Kerana kewujudan manusia seperti mereka inilah yang akan memberi ancaman kepada al-Haq pada zaman kita hari ini.

Bumi Malaysia kita yang dikurniakan nikmat keamanan ini mungkin terkecuali daripada pertembungan secara langsung yang kuat, tetapi pertembungan dalam bentuk inilah yang banyak kita hadapi hari ini. Mereka yang menghujahkan tidak perlu memakai tudung, tidak perlu solat jumaat, membolehkan dakyah kristianisasi dan banyak lagi jelas menunjukkan mereka menggunakan hujah kebenaran untuk melawan kebenaran itu sendiri. Lebih teruk lagi ada yang menghujahkan bahawa LGBT yang merupakan antara perbuatan sangat terkutuk disisi Allah swt itu sendiri menggunakan hujah-hujah Kalam Allah swt!

Mereka tanpa merasa malu menggunakan nas-nas Al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW, nama-nama ulama salafussoleh serta hujah-hujah Syarak seperti Maqasid dengan tujuan memuaskan nafsu serta menghancurkan Syarak. Sikap dan perbuatan mereka ini tidak ubah seperti Rabi Yahudi yang telah merosakkan agama yang dibawa oleh Rasul mereka suatu masa dahulu.

Sebab itulah bagi saya kelompok seperti ini adalah lebih teruk daripada Firaun. Ini kerana Firaun menolak kebenaran itu dalam satu pertembungan yang jelas antara al-Haq dan al-Batil sedangkan kelompok seperti ini menolak kebenaran dengan kebenaran itu sendiri lalu membentuk sebuah pertembungan yang memberi kekeliruan kepada umat Islam lainnya.

Kesalahan Firaun hanyalah satu iaitu pada menolak kebenaran namun kesalahan mereka ini adalah pada menolak kebenaran dan merosakkan hakikat sebenar intipati kebenaran itu sendiri. Mungkin kerana inilah Allah swt men”celaka”kan sebanyak dua kali kelompok seperti ini menunjukkan betapa hinanya perbuatan tersebut.

فَوَيۡلٌ۬ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِأَيۡدِيہِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَـٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنً۬ا قَلِيلاً۬‌ۖ فَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا ڪَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٌ۬ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Al-Baqarah: 79)

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply