Menghormati Malaysia negara Islam adalah tanggungjawab semua warganegara

Sekali lagi, isu agama kembali menjadi topik hangat masyarakat. Dulu isu penggunaan kalimah Allah, isu serbuan JAIS ke atas DUMC, isu RUU Pindaan Akta 355, RUU Pindaan Akta 164 dan lain-lain lagi. Kini ia kembali hangat rentetan laporan polis Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff terhadap YB Hannah Yeoh berhubung bukunya yang bertajuk “Becoming Hannah”.

Isu telah meleret daripada isu perundangan kepada politik dan lebih jauh kepada isu bangsa dan agama. Perbincangan menunjukkan beberapa kekeliruan yang dimiliki oleh sebahagian masyarakat termasuk kalangan yang mendakwa sebagai agamawan muslim.

Antara kekeliruan yang timbul adalah seperti:

  1. Kenapa ingin sekat non-muslim berdakwah? Sejak bila Islam melarang non-muslim berdakwah kepada agama yang mereka anuti? Ayat al-Quran dan hadis mana larang non-muslim berdakwah?
  2. Mereka buat kerja mereka, orang Islam buat apa? JAKIM, jabatan dan majlis agama Islam, jabatan mufti setiap negeri, NGO-NGO Islam di mana?
  3. Kenapa berfikiran sempit? Rapuh sangatkah iman orang Islam? Bagaimana dengan ayat melarang kita berdebat dengan ahli Kitab melainkan dengan cara paling baik (lihat surah al-Ankabut: 46)
  4. Dan lain-lain lagi…

Menanggapi kekeliruan ini, setiap muslim perlu memahami perkara akidah atau agama di dalam Islam bukannya terbatas sebagai urusan individu dengan Tuhan sebagaimana yang difahami pemikiran sekular. Islam adalahIDEOLOGI negara. Negara Islam adalah negara berasaskan ideologi. Ideologi tersebut adalah Islam. Segala sistem dalam negara mendokong ideologi tersebut.

Adalah tidak munasabah untuk membenarkan perkembangan ideologi yang bertentangan dengan ideologi negara. Lihatlah mana-mana negara ideologi moden pun, sama ada demokrasi mahupun komunis, mereka akan menyekat mana-mana penyebaran atau usaha yang boleh menjejaskan ideologi negara.

Di negara-negara Barat yang bertunjangkan liberal dan sekular, mereka boleh menyekat kebebasan pengamalan agama seperti pemakaian niqab (agak ironis dengan pegangan liberal mereka sendiri), atas alasan tidak bersesuaian dengan nilai liberal dan sekular yang didokongi negara. Manakala di negara komunis, tindakan adalah lebih keras dan agresif kepada mana-mana anasir yang ingin menggerakkan ideologi demokrasi yang menggugat ideologi komunis.

Dalam konteks Malaysia, Islam adalah agama persekutuan yang menjadi tunggak negara bangsa Malaysia. Maka banyak peruntukan-peruntukan digariskan agar selaras dengan asas kenegaraan ini baik undang-undang mahupun kewangan, di samping menyekat mana-mana unsur yang tidak serasi dengannya.

Ianya bukan perkara bid’ah dalam Islam. Perkara ini difahami dan dipraktik sejak awal kenegaraan Islam. Mana-mana anasir yang menggugat negara, dibanteras dan disekat. Di zaman Rasulullah, kaum Yahudi diusir apabila mereka cuba menggugat asas-asas kenegaraan Negara Islam Madinah.

Pada zaman khalifah Umar, prinsip ini lebih jelas berdasarkan akad zimmah. Akad Zimmah yang dikenali sebagai “al-‘Ahd al-Umari” (Perjanjian Umar) telah ditandatangani seawal 15 Hijriah menjadi asas kepada kewarganegaraan ahli Kitab dalam negara Islam. Antara syarat kewarganegaraan yang dikenakan ialah:

“Mereka tidak boleh menzahirkan kesyirikan. Mereka tidak boleh menzahirkan salib mahupun sesuatu daripada kitab-kitab mereka di jalan-jalan orang Islam. mereka tidak boleh memukul loceng melainkan pukulan perlahan. Mereka tidak boleh meninggikan suara bacaan di gereja mereka dengan kehadiran orang Islam. Dan jika mereka menyalahi sesuatu daripada syarat yang dikenakan ini, maka tiada zimmah (hilang perlindungan dan terlucut kewarganegaraan) untuk mereka.”

Tidak timbul, adakah iman orang Islam di zaman Umar al-Khattab nipis senipis kulit bawang hingga perlu dikawal sedemikian rupa. Mereka adalah generasi sahabat yang diakui imannya dalam al-Quran. Bahkan ini adalah berkaitan dengan asas negara, maka setiap warga perlu mendokong asas-asas kenegaraannya. Jika tidak, kewarganegaraannya boleh gugur. Mereka (para sahabat r.a) faham bahawa tanggungjawab memelihara “aqidah” negara bukan hanya aqidah dijiwa sahaja.

Al-Jashshosh dalam kitabnya, Ahkam al-Quran, meriwayatkan daripada Imam as-Syafie:

“Disyaratkan ke atas golongan kafir yang mengadakan perjanjian (damai/zimmah) iaitu: sesiapa yang menyebut tentang al-Quran atau Muhammad saw secara tidak patut, atau berzina dengan wanita muslimah, atau menyetubuhinya atas nama pernikahan, atau menggugat seorang muslim berkaitan agamanya, atau menyamunnya, atau membantu ahli harbi (musuh) dengan menunjuk cara menyerang muslimin, atau melindungi perisik mereka, dia telah membatalkan perjanjiannya…”

Untuk itu, masyarakat perlu memahami tanggungjawab warganegara dalam menjaga asas kenegaraan yang ditetapkan perlembagaan dengan tidak mencampur adukkan dengan isu kebebasan beragama.

Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 264 access attempts in the last 7 days.