Hadis bermaaf-maafan sebelum Ramadan?

Semakin hampirnya kita dengan bulan Ramadan ini pelbagai kata-kata dan hadis yang tular di dalam masyarakat kita. Namun yang menyedihkan adakalanya hadis-hadis yang dikongsikan tersebut merupakan hadis palsu. Walaupun niatnya mungkin baik iaitu menghidupkan suasana solehah namun cara ini iaitu bermudah-mudah menyandarkan kepada nabi SAW amatlah ditegah oleh Islam itu sendiri. Antaranya adalah hadis ini berkenaan bermaafan sebelum ramadan:

Ketika Rasullullah sedang berkhutbah pada Solat Jumaat (dalam bulan Sya’ban), beliau mengatakan Amin sampai tiga kali, dan para sahabat begitu mendengar Rasullullah mengatakan Amin, terkejut dan spontan mereka turut mengatakan Amin. Tapi para sahabat bingung, kenapa Rasullullah berkata Amin sampai tiga kali. Ketika selesai solat Jumaat, para sahabat bertanya kepada Rasullullah, kemudian beliau menjelaskan: “Ketika aku sedang berkhutbah, datanglah Malaikat Jibril dan berbisik, hai Rasullullah Amin-kan doa ku ini,” jawab Rasullullah.

Do’a Malaikat Jibril itu adalah:
“Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

  1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
  2. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
  3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Dikatakan bahawa hadis tersebut diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah (3/192) dan Ahmad (2/246, 254).

Setelah diteliti oleh ahli hadis, doa Malaikat Jibril tersebut tidak ditemui asalnya, bahkan dalam kumpulan hadis palsu atau dhaif pun tidak ada.

Tidak ditemui sebarang tanda yang boleh membawa kita untuk menilai darjatnya.

Namun apa yang sebenarnya ditemui dalam kitab Sohih Ibnu Khuzaimah (3/192) juga pada kitab Musnad Imam Ahmad (2/246, 254) adalah hadis berikut:

“Dari Abu Hurairah: Rasulullah SAW naik mimbar lalu bersabda: ‘Amin, Amin, Amin’. Para sahabat bertanya : “Kenapa engkau berkata demikian, wahai Rasulullah?” Kemudian beliau bersabda, “Baru saja Jibril berkata kepadaku: ‘Allah melaknat seorang hamba yang melalui Ramadhan tanpa mendapatkan ampunan’, maka ku katakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Allah melaknat seorang hamba yang mengetahui kedua orang tuanya masih hidup, namun tidak membuatnya masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka berdua)’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Allah melaknat seorang hamba yang tidak bersolawat ketika disebut namamu’, maka ku katakan, ‘Amin”.” Al A’zhami berkata: “Sanad hadis ini jayyid”.

(Hadis ini disohihkan oleh Al Mundziri di At Targhib Wat Tarhib (2/114, 406, 407, 3/295), juga oleh Adz Dzahabi dalam Al Mazhab (4/1682), dihasankan oleh Al Haitsami dalam Majma’ Az Zawaid (8/142), juga oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Al Qaulul Badi‘ (212)).

Dari sini jelaslah bahawa kedua-dua hadis tersebut di atas adalah dua hadis yang berbeza. Entah siapa orang yang membuat hadis pertama; atau mungkin boleh jadi pembuat hadis tersebut mendengar hadis kedua, lalu menyebarkannya kepada orang ramai dengan daya ingatan yang rosak, sehingga berubahlah makna hadis; atau boleh jadi juga, pembuat hadis ini berinovasi membuat tradisi bermaaf-maafan sebelum Ramadhan, lalu sengaja menyelewengkan hadis kedua ini untuk mengesahkan tradisi tersebut.

Yang nyata, hadis yang pertama itu tidak ada asal-usulnya, ia BUKAN HADIS dan tidak wajar menjadi rujukan sesuatu amalan.

Meminta maaf itu disyariatkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda :
“Orang yang pernah menzalimi saudaranya dalam hal apapun, maka “hari ini” ia wajib meminta perbuatannya tersebut dihalalkan oleh saudaranya, sebelum datang hari di mana tidak ada ada dinar dan dirham. Kerana jika orang tersebut memiliki amal soleh, amalnya tersebut akan dikurangi untuk melunasi kezalimannya. Namun jika ia tidak memiliki amal soleh, maka ditambahkan kepadanya dosa-dosa dari orang yang ia zalimi” (HR. Bukhari no.2449)

Dari hadis ini jelas bahawa Islam mengajarkan untuk meminta maaf, jika berbuat kesalahan kepada orang lain.

Adapun meminta maaf tanpa sebab dan dilakukan kepada semua orang yang ditemui, tidak pernah diajarkan oleh Islam. Jika ada yang berkata: “Manusia kan tempat salah dan dosa, mungkin saja kita berbuat salah kepada semua orang tanpa disedari”. Yang dikatakan itu memang benar, namun apakah serta merta kita perlu meminta maaf kepada semua orang yang kita temui?

Selain itu, kesalahan yang tidak sengaja atau tidak disedari tidak dihitung sebagai dosa di sisi Allah Ta’ala. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah telah memaafkan ummatku yang berbuat salah kerana tidak sengaja, atau kerana lupa, atau kerana dipaksa” (HR Ibnu Majah, 1675, Al Baihaqi, 7/356, Ibnu Hazm dalam Al Muhalla, 4/4, sohih).

Sehingga, perbuatan meminta maaf kepada semua orang tanpa sebab boleh terjerumus pada ghuluw (berlebihan) dalam beragama.

Dan kata “hari ini” dalam hadis riwayat Bukhari menunjukkan bahawa meminta maaf itu boleh dilakukan bila-bila saja dan yang paling baik adalah dengan segera, kerana kita tidak tahu bila ajal menjemput.

Namun bagi seseorang yang memang memiliki kesalahan kepada saudaranya dan belum menemukan waktu yang sesuai untuk meminta maaf dan menganggap waktu datangnya Ramadhan adalah saat yang tepat, tidak ada larangan memanfaatkan waktu ini untuk meminta maaf kepada orang yang pernah dizaliminya.

Asalkan tidak dijadikan kebiasaan sehingga menjadi ritual rutin yang dilakukan setiap tahun.

Wallahu’alam.

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 413 access attempts in the last 7 days.