Kita tidak mampu memahami hakikat dan zat Tuhan

 

Dikatakan sesiapa yang mengenal dirinya, maka dia akan mengenal Tuhannya.

Ya, walaupun ia punyai perbahasan yang cukup panjang, hinggakan Ibnu Qayyim juga ada memberi penafsiran terhadap kata-kata itu, namun biarlah ulasan saya kali ini mengambil sudut yang lain.

Apabila mendalami perbahasan perjalanan hati yang mendalam ini, perjalanan berkenalan dan taaruf dengan Tuhan, keunikannya terserlah dalam cara yang tersendiri yang dipamerkan oleh Al-Quran yang dibaca seharian.

Al-Quran memberikan gambaran asasi hubungan kemanusiaan dan ketuhanan. Ada aspek yang cukup rapat yang tidak pernah ditinggalkan, bermula daripada penciptaan oleh Tuhan terhadap manusia, hingga kematian mereka yang dicabut nyawanya untuk bertemu Tuhannya.

Dicipta oleh Dia, disusun hidupnya oleh Dia, diberi rezeki oleh Dia, ditentukan ajalnya pula oleh Dia, ditentukan penghujung kisahnya juga oleh Dia.

Pendek kata dari buka mata hingga tutup mata semuanya adalah dengan Dia, dari Dia, kepada Dia.

Jadi timbul satu persoalan, di manakah pula peranan manusia jika kesemuanya sudah pun di dalam ketetapan dan pengetahuan Dia ?

Tidakkah itu satu penciptaan dan tindakan yang sia-sia bila kita ini hanya menjadi seolah-olah robot yang tiada apa-apa pilihan dan hanya menjalankan tugasan tertentu sahaja hingga dimatikan fungsinya ?

Di sinilah datangnya ketinggian dan kehebatan Tuhan. Dia mencipta dengan kehendak-Nya, kudrat dan ilmu-Nya.

Setiap persoalan akan kau dapati Tuhan di dalamnya. Jika kau benar-benar mencari Dia.

Oleh kerana Dia adalah Tuhan, maka Dia tidak layak dipersoal. Jika dijawab, belum tentu mampu kita garap kerana akal kita jauh sekali keterbatasannya.

Oleh kerana itu apabila timbul persoalan yang dirungkai hadis Nabi SAW : Allah yang mencipta segala kejadian. Apabila sampai kepada persoalan siapa pula yang mencipta Allah ? Maka katakanlah ‘Aku berlindung daripada syaitan yang direjam’.

Itu bukanlah larangan untuk bertanya, tapi ketukan untuk sedar bahawa akal kita tidak mampu memahami persoalan mengenai hakikat dan zat Tuhan. Bak kata Al-Ghazali : Hanya Allah yang mengenali diri-Nya (sebenar-benarnya).

Mengenali diri bererti memahami peranan diri atas muka bumi, apabila timbulnya sebarang persoalan dalam diri ketahuilah bahawa di titik ‘aku tidak tahu’ itulah munculnya hakikat tauhid ketuhanan yang jelas dan tinggi. Hanya kerana Dia yang mengajar manusia apa yang dia tidak pernah tahu (Al-Alaq)

Mengenali diri bererti memahami tuntutan dan taklifan Tuhan yang terpikul untuk dilaksanakan. Setiap persoalan ‘aku tidak mampu’ itu akan digarap sebaik-baiknya dengan perasaan hidup bertuhan.

‘Ketahuilah bagi Dialah segala penciptaan dan urusan. Maha suci Allah Tuhan sekalian alam’ – Al-An’am

Wallahua’lam

Ust Ahmad Syamil Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 2377 access attempts in the last 7 days.