Bergurau biarlah tidak sehingga melanggar garis panduan Syarak

 

Gurauan adalah salah satu hiburan untuk manusia, kerana fitrah manusia sukakan perkara yang menyenangkan hati. Namun, gurauan juga ada batas dan panduannya Islam.

“ Aik! Dalam Islam boleh bergurau ke? Tak pernah tahu pun!”

Sekarang meh saya nak bagitahu..

Islam adalah agama yang syumul yang mana dari awal terbit hinggalah terbenam matahari Islam mengajar kita tentang kehidupan seorang muslim hatta dalam bab bergurau pun, tapi ada batas dan panduannya.
Umum mengetahui, di Malaysia terdapat banyak rancangan hiburan lawak yang bagi saya tidak sedikit pun bermanfaat bahkan makin menjauhkan manusia dari Islam itu sendiri. Bahkan, ada segelintir manusia yang menjadikan gurauannya sebagai satu bahan lawak sehingga merendahkan orang lain tanpa dia sedar.

Kadang, kita memanggil orang lain dengan gelaran yang tak disukai, walaupun kita pada hakikatnya kita cuma bergurau. Allah SWT melarang perbuatan ini sepertimana yang termaktub di dalam Al-Qur’an di dalam Surah Al-Hujurat: 11

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Di dalam ayat ini, Allah SWT melarang ummat Islam memperolokkan sesama sendiri. Ibnu Katsir Rahimahullah dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan kepada kaum Muslimin kerana ada di kalangan mereka yang saling memperolok satu sama lain. Ini adalah perbuatan biasa pada zaman Arab jahiliyyah. Namun apabila mereka masih mengamalkan budaya ini setelah memeluk Islam, Allah menurunkan ayat sebagai Al-Qur’an sebagai terguran kepada mereka.

Terdapat juga di dalam sirah Nabi SAW di dalam sahih Bukhari dimana sahabat baginda iaitu Abu Dzar r.a pernah menmanggil Bilal r.a dengan anggilan “wahai anak wanita bekulit hitam”. Bilal r.a lalu mengadukan hal itu kepada Nabi SAW dan sewaktu bertemu dengan Abu Dzar baginda hanya lalu sahaja di hadapan Abu Dzar hingga dikatakan “kami tidak tahu Nabi menjawab salamnya atau tidak”. Setelah itu, Nabi SAW bersabda:
“Whai Abu Dzar! Engkau telah menghina Bilal dengan merendahkannya dan asal-usulnya. Di dalam dirimu terdapat sifat jahiliyyah.”

Lihatlah! Bagaimana Islam sangat menjaga maruah seorang individu.

Habis tu, Nabi SAW pernah bergurau tak?

Pernah! Bahkan ada beberapa hadith yang menceritakan bagaimana Nabi mengajar kita adab di dalam bergurau.

Antara perkara yang sangat ditekankan adalah tentang aspek pembohongan dalam gurauan yang sering kita terlepas pandang dalam kehidupan seharian kita.

Nabi SAW tidak pernah menipu di dalam gurauan bahkan baginda memberi amaran yang keras kepada golongan ini dengan sabda baginda:

“Celakalah bagi yang berbicara lantas berdusta hanya karena ingin membuat suatu kaum tertawa. Celakalah dia, celakalah dia.” (H.R Abu Daud)

Persoalannya, Kenapa perkataan “celakalah ia” diulang dua kali di dalam hadith ini?
Ini menunjukkan bahawa tersangatlah berat hukumannya kepada orang yang berdusta, kerana pendustaan adalah salah satu punca segala kejahatan dan akhirnya menyebabkan hati menjadi mati kerana terlalu banyak ketawa, naudzubillah.

Ayuh sama-sama kita imbas kembali bagaimana gurauan Nabi SAW dengan seorang nenek, baginda bergurau dengan nenek tersebut tanpa berbohong kepadanya. Hadith ini sangat masyhur di kalangan kebanyakan kita.
Nabi SAW juga melarang gurauan yang mendatangkan mudharat. Pernah berlaku pada zaman Nabi Saw, Abdullah Bin Hudzafah pernah memerintahkan para sahabat untuk terjun ke dalam api sebagai tanda taat mereka kepadanya sebagai seorang pemimpin. Ketika mereka hampir terjun ke dalam api, Abdullah Bin Hudzafah lalu berkata: “”Tahanlah diri kalian, sesungguhnya aku hanya bergurau dengan kalian.”
Kemudian ketika mereka sudah sampai Madinah, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah saw, maka Rasulullah saw pun bersabda : “Siapa saja dari mereka (pemimpin) yang memerintahkan kalian untuk melaksanakan maksiat, maka janganlah kalian mentaatinya” (Sahih Riwayat Ahmad)

Selain itu, kita bila mendengar sesuatu perkara yang melucukan, adakalanya ketawa sampai tak ingat dunia. Kita lihat bagaimana Aisyah r.a menggambarkan kepada kita bagaiman cara Nabi SAW ketawa.

“Saya tidak pernah melihat Rasulullah saw kertawa terbahak-bahak hingga terlihat anak lidahnya, baginda hanya tersenyum.” (H.R Muslim dan Ahmad)

Saya simpulkan bahawa Islam tidak pernah menghalang kita daripada bergurau senda selagimana ianya tidak bercanggah dengan garis panduan yang telah ditetapkan. Ikut je garis panduan Islam dan anda boleh bergurau tanpa mendatangkan mudharat kepada diri sendiri atau insan di sekeliling. Mudah bukan?

Moga setiap perlakuan harian kita dilandaskan dengan rasa taqwa terhadap Allah SWT agar kita terhindar dari perbuatan sia-sia dan dosa tanpa kita sedar. Moga Allah ampunkan tiap kelemahan dan kekhilafan yang kita lakukan saban hari samada dalam sedar atau tidak kerana mereka yang terbaik di kalangan pendosa adalah yang sentiasa memperbaharui taubatnya.

Wallahua’lam.

Siti Hajar binti Abdul Rahman
Pelajar Sarjana Muda Akidah & Agama USIM
Ulama Muda Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *