Kedudukan makmum berseorangan dalam solat jemaah

Assalamualaikum ustaz, di Malaysia, apabila kita berimam dengan seorang sahaja makmum, maka kebiasaannya jarak antara makmum dan imam adalah lebih kurang sejengkal, iaitu imam di depan dan seorang makmum tadi di belakang sedikit dari imam. Tetapi di Mesir, ada yang mengatakan itu adalah pendapat dan hadis y dhoif. Jadi, kebiasaan mereka disini menyamakan saf antara imam dan seorang makmum (jika mereka solat berdua sahaja) dengan berdiri sama saf. Jadi boleh terangkan mengenai masalah ini? Syukran

Jawapan 3

Isyarat Hadis ada menunjukkan jemaah yang terdiri dari seorang makmum dan seorang Imam, Makmum itu hendaklah berdiri di sebelah kanan imam tanpa perlu ke belakang sedikit. Antara hadis yang dimaksudkan, iaitulah sebuah hadis yang panjang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya dari Jabir bin ‘Abdillah yang berkata:

ثمَّ جِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ جَاءَ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْنَا جَمِيعًا فَدَفَعَنَا حَتَّى أَقَامَنَا خَلْفَهُ

Mafhumnya: “…kemudian saya datang dan berdiri sebelah kiri Rasulullah SAW (ketika baginda menunaikan solat), lalu baginda memegang tangan saya, dan menarik saya sehingga baginda menjadikan saya berdiri di sebelah kanan baginda, kemudian datang Jabbar bin Sakhr, dia berwudhu, kemudian dia berdiri di sebelah kiri Rasulullah SAW , lalu Rasulullah SAW memegang tangan kami berdua dan menolak kami berdua sehingga baginda menjadikan kami berdiri di belakang baginda (dalam satu saf)…” (Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya. Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq)

Berdasarkan hadis ini sebahagian ulama berpandangan jemaah yang terdiri dari seorang Imam dan seorang Makmum, Makmum hendaklah berdiri dalam satu Saf sebelah kanan Imam tanpa perlu ke belakang sedikit.

Namun sebahagian ulama dalam Mazhab al-Syafie berpandangan seorang Makmum walaupun seorang hendaklah berdiri ke belakang sedikit kerana Istishab (الإستصحاب) pada kedudukan asal atau hukum asal seorang Imam yang hendaklah berada hadapan daripada Makmum.

Wallahu a’lam.

Ustazah Abidah Binti Fadzlan

Graduan Fakulti Syariah Islamiyyah

Ahli Muis Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.