Hukum berkongsi Microwave dengan makanan tidak halal

Soalan : Salam Ustaz. Boleh tak kita kongsi menggunakan microwave di ofis dengan orang bukan Islam yang tidak pasti kehalalannya makanan yang mereka panaskan?

▪️Berkenaan microwave yang berfungsi sebagai alat pemanas makanan, udara panas yang keluar untuk memanaskan makanan itu ia adalah dari udara panas yang suci. Jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dipanaskan sebelumnya itu najis, maka menurut setengah ulama, makanan yang dipanaskan selepasnya itu HARUS juga dimakan. Hal ini dikiaskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.

▪️Perkara ini disebutkan di dalam kitab Fathul-‘Allam :

Ertinya : “Dan dimaafkan roti yang dibakar dengan (menggunakan bahan bakar) tahi kering ; dengan diletakkan sekeping roti di atas tahi kering selepas menyalakan apinya, atau diuli di atas tanah lapang, maka boleh dimakan roti itu dan mencebisnya pada ketika roti itu lembut walaupun terlekat padanya sedikit debu, dan tidak wajib membasuh mulut jika dia hendak bersembahyang dan sembahyangnya tetap sah dengan menanggungnya.”

Disebutkan lagi di dalam kitab yang sama :

Ertinya : “Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api yang bernajis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan sesuatu daripadanya ke dalam susu, (sedemikian itu) adalah dimaafkan.” Adapun asap yang sedikit mengikut ‘urf yang timbul daripada makanan yang najis adalah dimaafkan. Demikian juga dimaafkan asap yang timbul daripada kesan makanan yang dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan bahan najis seperti tahi lembu yang dikeringkan. Adapun wap yang bukan daripada sebab pemanasan dengan api adalah suci.

▪️Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala :

Ertinya : “Dan dimaafkan yang sedikit – menurut ‘urf – asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya (najis) dengan sebab (dibakar) dengan api, sekalipun (asap yang timbul) daripada kayu gaharu yang diletakkan di atas seumpama (bara) tahi kering.”

“Dan terkeluar (tidak termasuk) dengan (perkataan) asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya (najis) yang bukan melalui (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu adalah suci. Termasuk dalam kategori ini ialah (seperti) udara yang keluar daripada tandas atau dubur, maka ia adalah suci. Maka jika sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu tetap sah.”

Berdasarkan petikan pandangan ulama di atas, jelas bahawa asap yang sedikit yang timbul dari kesan memanaskan benda najis adalah termasuk dalam hukum najis yang DIMAAFKAN. Adapun wap dari najis yang timbul bukan sebab dipanaskan dengan api ianya adalah SUCI.

Oleh itu, memakai semula microwave untuk memanaskan makanan selepas ia digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan kehalalannya atau yang jelas haram adalah HARUS. Walaupun demikian, sebelum menggunakan microwave tersebut seeloknya makanan itu dibalut terlebih dahulu atau menggunakan bekas yang tertutup.

▪️Berlainan halnya jika microwave itu jelas bernajis atau terkena najis, maka hendaklah microwave tersebut dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis.

Dari Abi Tsa’labah al-Khusyani r.a. :

Ertinya : “Bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW : “Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahl al-Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk mereka dan meminum khamar di dalam gelas mereka (lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut?)”

Rasulullah SAW menjawab : “Jika kalian dapat menggunakan perkakas yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat perkakas yang lain maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.” (H.R Abu Daud, dinilai Sahih)

▪️Sebahagian Ulamak berpandangan : jawapan Rasulullah SAW menunjukkan bahawa perkakas yang bersentuhan dengan daging khinzir tidak perlu disamak tetapi memadai dibasuh dengan air sahaja.
▪️Imam An-Nawawi menjelaskan bahawa makruh menggunakan pinggan mangkuk yang telah digunakan untuk najis walaupun selepas dibasuh kerana pinggan mangkuk itu kotor dan biasa digunakan untuk najis. [Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim jil.13 hlm. 80]

Kesimpulan :

  1. Tidak berkongsi microwave adalah LEBIH UTAMA. Namun jika tiada pilihan maka HARUS berkongsi microwave pada pandangan sebahagian Ulamak.
  2. Disyorkan membuat peraturan di ofis agar setiap individu menggunakan bekas yang tertutup atau dibungkus ketika memanaskan makanan menggunakan microwave.
  3. Islam adalah agama yang mudah dan dalam masa yang sama Islam merupakan agama yang teguh berpegang kepada prinsip. Sifat mudah dan berprinsip ini tidak kontradik.
  4. Orang Islam adalah dituntut mengambil sikap wara‘ dengan berhati-hati mengguna pakai perkakas dapur termasuk microwave dan peti ais yang dikongsi dengan makanan tidak halal. Semua itu dikategori sebagai syubhah atau meragukan. Menjauhi perkara yang meragukan adalah merupakan tuntutan syara‘.

Wallahua’lam.

#BerkongsiMicrowave
#SoaljawabBersamaAlrais

 

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1265 access attempts in the last 7 days.