Manusia berprinsip dan golongan oportunis

 

Risalah ini adalah tulisan Syiekh Dr Solah Sultan yang ketika ini di dalam penjara akibat kezaliman kerajaan rejim Mesir:

Orang yang berprinsip adalah orang yang ada nilai dan mempunyai pegangan hidup samada ketika sembunyi atau pun bersama orang lain, ketika bersama rakan atau pun bersama musuh. Mereka seolah-olah seperti sebuah gunung yang sebahagiannya adalah asas yang tepasak kukuh di dalam perut bumi serta sebahagian lain itulah kemegahan yang terzahir yang dilihat oleh manusia lain. Syiar mereka adalah seperti firman Allah swt:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَيۡبِ لَهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ وَأَجۡرٌ۬ كَبِيرٌ۬

Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar (al-Mulk : 12)

Juga hadis ar-Rasul saw yang berbunyi

اِتَّقِ اللهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapusnya dan pergauilah manusia dengan akhlak yang baik.“ (Riwayat Tirmizi)

Tiada beza pendirian mereka ini dalam apa jua keadaan samada susah atau senang, ketika kaya atau miskin, ketika sihat atau sakit. Tidaklah mereka ini melainkan seperti  emas atau permata, iaitu saat engkau bakarnya (seksa) maka akan semakin jelas keasliannya dan saat engkau celup ianya ke dalam air maka akan semakin bersinar cahayanya.

Adapun orang yang berkepentingan (oppurtunis), mereka adalah seperti firman Allah swt:

وَإِذَا لَقُواْ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ إِلَىٰ شَيَـٰطِينِهِمۡ قَالُوٓاْ إِنَّا مَعَكُمۡ إِنَّمَا نَحۡنُ مُسۡتَہۡزِءُونَ

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: Kami telah beriman dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman). (al-Baqarah: 14)

Mereka adalah seperti tanah, larut kedalamnya air saat disiram padanya dan menjadi kering saat sehingga menjadi debu berterbangan saat dipanaskan. Pendirian dan prinsip mereka adalah berdasarkan kepada situasi yang dia berada padanya, saat dia berada bersama orang mukmin maka dilihat mereka seolah-olah pemimpin orang beriman namun saat dia bersama orang mujrimin (pelaku dosa) maka dilihat dialah kepala kepada semua pelaku maksiat tersebut.

Sifat inilah yang banyak kita saksikan pada ramai ketua, pemimpin bahkan menteri kita pada hari ini. Apabila kita berbicara dengan mereka dalam perbincangan tertutup atau sebelum dia menjadi pemimpin engkau melihatnya seolah-olah dialah orang yang paling berprinsip hingga engkau tidak pernah ragu-ragu lagi bahawa prinsip ini akan terus terpelihara dengan kewujudannya.

Namun saat dia manjadi pemimpin kesemua ini boleh bertukar dalam sekelip mata, dia menjadi manusia yang seolah-olah langsung tidak ada perasaan kemanusiaan dan langsung tidak malu menzahirkan kezaliman yang dia lakukan.Bila kita bertanya terhadap tindakannya itu maka diajawab bahawa dia hanya “orang suruhan” sedangkan hakikatnya dia bertindak sedemikian demi menjaga kuasa yang dia berada padanya.

Pernah pada suatu hari aku berjumpa dengan seorang ketua perisikan Mesir lalu dia memujiku dengan berkata: Aku sangat kagum dengan sifat berprinsip yang ada pada kamu lalu aku berkata: Terima kasih atas pujian engkau, cuma bagaimana pula engkau? Adakah engkau sanggup menangkap dan menyiksa aku saat mendapat arahan dari atasan? Adakah engkau sanggup menghina manusia yang engkau tahu dia adalah seorang yang mulia? Maka dia jawab: Ya aku sanggup. Maka aku kata padanya: Sesungguhnya engkau melalui kehidupan ini dengan penuh kehinaan kerana engkau bertindak berbeza dengan apa yang ada dalam kepercayaan dan akal engkau.

Orang seperti ini aku nasihatkan kepada mereka: Hidup satu hari yang penuh dengan prinsip adalah lebih mulia daripada hidup ribuan tahun dalam keadaan tidak berprinsip.

tulisan asal disini

 

Diterjemah oleh:

Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 405 access attempts in the last 7 days.