Kebangkitan Islam adalah dengan kembali padanya bukan merubahnya

Hari ini kita menyaksikan kesedaran yang agak tinggi dikalangan umat Islam, suasana ini membawa kepada wujud pelbagai usaha daripada pelbagai pihak yang tujuannya adalah untuk melihat Islam kembali gemilang dan menjadi ustaziatul alam (kuasa besar) kepada dunia hari ini.

Namun disebalik keindahan suasana ini, wujud sebahagian kelompok yang tersesat dalam langkah mereka. Walaupun boleh jadi niat mereka adalah baik (tanpa menafikan ada yang memang berniat menjatuhkan Islam) tetapi apabila Islam itu gagal dilihat pada sudut yang syumul ianya membawa kepada kecelaruan dalam tindakan mereka. Mereka ingin mengangkat Islam tetapi wasilah yang diambil itu langsung tidak menyumbang kearah itu bahkan adakalnya menyumbang kearah runtuhnya agama itu sendiri.

Sebahagian mereka yang terlalu kagum dengan gaya pemikiran barat hingga menyebabkan akhirnya dia cuba menyatukan falsafah-falsafah barat seperti liberal, sekular ke dalam cara fikir Islam itu sendiri. Sebahagian lain yang kalah dengan suasana yang wujud pada hari ini hingga sanggup menafikan pelbagai istilah syarak seperti jihad, negara Islam, undang-undang Syarak kononnya atas nama menyesuaikan Islam dengan zaman yang ada.

Tidak kurang juga ada yang menggunakan istilah-istilah syarak secara berlebihan seperti maqasid sehingga membawa kepada menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal. Mereka menggunakan dengan hujah maslahat untuk menolak nas-nas yang selama ini telah jelas akan apa yang dimaksudkan.

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُ ۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ فَرَءَاهُ حَسَنً۬اۖ

Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (al-Fatir:8)

Hakikatnya tidaklah semua ini melainkan permainan daripada syaitan iaitu mempercantikkan jalan-jalan mereka sehingga mereka menyangka jalan yang sedang dilalui ini kelak bakal membangunkan Islam. Sedangkan apa yang bakal berlaku adalah sebaliknya.

Suasana seperti ini bukanlah baru dalam dunia Islam yang sudah berumur 1438 tahun. Pernah suatu masa di zaman Imam Malik iaitu saat wujudnya kelompok seperti ini yang mengadakan pelbagai bid’ah (fahaman baru) dalam Islam dengan tujuan baik namun cara yang salah. Kemudian beliau menegur mereka dengan tegas sambil menyeru:

لَا يُصْلِحُ آخرَ هذه الأمة إلا ما أصْلَحَ أَوَّلَهَا

“Generasi akhir umat ini tidak akan baik kecuali dengan apa yang diperbaiki oleh generasi awal umat ini” (kitab al-Mabsut karangan al-Jahdhami)

Benar! kembali mengangkat Islam bukanlah dengan cara kita mengubah atau menokok tambah zat Islam itu. Tetapi cara yang sebenar adalah dengan kita mengubah dan memperbetulkan setiap diri kita agar mendapat kefahaman Islam yang sebenar. Lalu kefahaman Islam yang sebenar itu kita terapkan ke dalam diri keluarga kita, masyarakat dan seluruh umat Islam.

Aqidah dan tasawwur Islam seperti mana yang diimani oleh Sahabat RA saat pembentukan 13 tahun di Makkah. Kefahaman fiqh, jihad dan kenegaraan seperti yang mereka pegang saat dibentuk oleh Baginda saw di kota Madinah. Hanyalah dengan kembali kepada cara fikir serta tindakan seperti Sahabat RA barulah Islam itu akan kembali menjadi kuasa besar dunia seperti di zaman keemasan al-Khattab.

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Imam al-Sya’bi apabila menafsirkan ayat ini menyebut ianya bermaksud telah zahir dan mulianya Islam pada saat ini maka tidak perlu kepada perkara lain untuk memuliakannya serta telah hina dan rendahnya kesyirikan itu sendiri.

Sedarlah bahawa Islam itu telah menjadi suatu sistem yang syumul (sempurna) saat wafatnya Baginda saw. Ia tidak memerlukan kepada penambahan atau pengurangan tetapi yang diperlukan adalah penghayatan yang berterusan daripada umat Islam itu sendiri agar ketulenan Islam itu terus terpelihara.

Kembalilah kepada Islam!

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA(MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 264 access attempts in the last 7 days.