Maulidur Rasul hendaklah membawa kepada perjuangan Baginda SAW

Ramainya orang yang bertanya berkenaan dengan meraikan maulid rasul (SAW). Saya rasa isu ini adalah isu lama yang tak ada kesudahannya. Pelbagai dalil dan jawapan dalil diberikan oleh mereka yang bersetuju dan menolak. Pada hakikatnya, meraikan maulid rasul tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan salaf al-soleh.

Pandangan peribadi saya pula adalah seperti berikut:

1-Kepada sesiapa yang menolak kerana mengikut sunnah (tasannunan) maka itu adalah baik. Ikutan kita adalah Rasulullah SAW dan para salaf

2- Kepada mereka yang ingin melakukannya, dengan mengambil sempena kelahiran Baginda SAW, lalu membuat program-program yang bermanfaat demi mengingatkan kembali perjuangan Baginda, menyeru manusia untuk kembali kepada Islam dan menyedarkan umat tentang ajaran Baginda yang sebenar, seperti program ceramah dll, maka pada pandangan saya ini juga adalah dibenarkan. Pada hakikatnya ceramah sebegini sepatutnya dilakukan pada setiap masa yang bersesuaian, bukan hanya pada hari Maulid. Namun sudah tentulah hari kelahiran Baginda (SAW) antara hari yang bersesuaian dan dekat dengan hati umat Islam. Mudah-mudahan, ceramah pada masa sebegini akan lebih dekat kepada hati umat dan lebih memungkinkan kepada penerimaan.

Tetapi meraikan maulid Rasul (SAW) sebegini mestilah tanpa keyakinan bahawa meraikan maulid ini suatu sunnah dan sesiapa yang tidak meraikannya maka beliau telah tidak melaksanakan sunnah, atau tidak menyayangi Rasul SAW,
Mudah-mudahan mereka mendapat ganjaran daripada Allah SWT kerana ceramah yang diadakan.

3-Jika sekiranya keraian maulid sebegini membawa kepada amalan-amalan dan acara-acara yang bertentangan dengan syarak seperti method zikir yang bertentangan dengan syarak, pergaulan lelaki dengan perempuan, atau membaca kisah-kisah Baginda (SAW) yang tidak benar, maka meraikan maulid sebegini adalah tercela.

Ini adalah pandangan ringkas saya. Adapun dalil-dalil yang menerima dan menolak dan hujah balas kedua-dua pihak, maka perbincangannya akan panjang, dan memerlukan suatu penjelasan yang lain.

Inilah pandangan ringkas saya.

Wallahu A’lam

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Pegerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.