Taqwa dalam Puasa Ramadan

pile of grey iron nails

 

]يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ[

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah : 183]

Begitulah, tiada harapan lain dalam menelusuri bulan Ramadhan,  serta mengerjakan ibadah berpuasa selama 30 hari, melainkan memperoleh ketaqwaan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam ayat tersebut. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Apa sebenarnya al-taqwa ? Dan bagaimana ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan mampu mendidik sifat al-taqwa?

Taqwa dari sudut bahasanya, melindungi atau memelihara sesuatu daripada perkara yang  boleh menyakitinya. Adapun dari sudut istilah syarak, ianya bermaksud memelihara diri daripada azab dan seksaan Allah s.w.t dengan menuruti segara perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Umar bin al-Khattab r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab r.a : Apakah itu al-taqwa?  Ubai r.a bertanya kembali kepada Umar r.a : Pernahkah engkau berjalan ditempat yang penuh dengan duri? Jawab Umar r.a : Bahkan. Ubai r.a bertanya lagi : Apa yang engkau lakukan? Umar r.a pun menjawab : Aku sangat berhati-hati dan bergelut (mengelaknya). Kata Ubai r.a : itulah al-taqwa.

Perumpaan yang dilakar oleh sahabat agung Ubai r.a meninggalkan kefahaman yang cukup  mendalam terhadap intipati al-taqwa.Dalam erti kata yang lain, sifat al-taqwa itu melahirkan sebuah jiwa yang sentiasa sedar daripada kelalaian yang mencengkam. Jiwa yang sentiasa merasakan bahawa Allah s.w.t memerhati segala amalannya. Lalu dengan itu memelihara dirinya daripada bermaksiat kepada yang Maha Melihat dan sentiasa berhati-hati daripada tergelincir ke lembah kemurkaan-Nya.  .

Namun untuk memilik sifat al-taqwa bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh kerana itulah perkataan al-taqwa sahaja diulang lebih kurang 258 kali di dalam Al-Quran dengan lafaz yang pelbagai. Sifat al-taqwa memerlukan kepada latihan yang berterusan sebelum terpupuk didalam jiwa seorang Muslim. Ia memerlukan kepada keazaman dan usaha seorang hamba untuk mendekatkan dirinya dengan Allah s.w.t. Bila dekat, barulah terasa dilihat.

Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t pula memerlukan seseorang itu membebaskan jiwa daripada kecintaan terhadap selain-Nya. Insan yang jiwanya terikat dengan rantaian syahwat (makanan, harta dan lain-lain) tidak akan mampu bergerak selangkah pun mendekati yang Maha Esa. Tidak mungkin lapangan yang disebut sebagai jiwa itu dikongsi bersama. Salah satu pasti akan merantainya. Antara dunia dan akhirat. Antara kecintaan kepada makhluk atau Maha Pencipta.Antara yang sementara keseronokannya atau yang kekal nikmatnya.

Oleh yang demikian dia perlu memilih diantara dua kecintaan.Setiap detik dalam pemilihannya itu pula adalah sebuah pertarungan. Pergelutan di gelanggang bernama jiwa. Insan yang jiwanya tidak pernah dilatih, pastinya akan tewas dengan tentera-tentara duniawi. Orang-orang yang tidak memahami hakikat ini akan mudah menyerah kalah terhadap tuntutan dunia.Bahkan meragui keperluan merebut cinta-Nya.

Hakikat inilah yang cuba ditanam didalam jiwa Muslim yang berpuasa. Hakikat pemilihan diantara dua tarikan sepanjang hidupnya dimuka bumi Allah s.w.t..Tidak cukup memilih, bahkan berterusan melebihkan salah satu daripada dua kecintaan tersebut (itharul a’la mahbubain).Uniknya jiwa manusia, ia tidak akan meninggalkan semua perkara yang disukai atau dicintai. Tetapi ia mampu untuk melebihkan salah satu daripada keduanya.

Nah, disinilah terzahirnya salah satu hikmah Allah s.w.t dalam mensyariatkan ibadah berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Ianya melatih jiwa agar mampu bertahan daripada syahwat dan keinginan dunia, demi mentaati perintah-Nya. Melalui ibadat puasa jugalah seorang Muslim dilatih untuk bergelut dengan nafsunya sendiri. Disetiap detik, nafsu berterusan mendesak fizikal agar melanggar suruhan Allah s.w.t, namun jiwa dan akalnya menyuruh yang sebaliknya, sehinggalah terbenamnya matahari selama 30 hari.

Jika diteliti dengan baik, terserlah peranan bulan Ramadhan sebagai sebuah pusat latihan (madrasah tarbiyyah) untuk mendidik jiwa seorang hamba, agar ia memperoleh bekalan yang secukupnya untuk terus memenangi pertarungan tersebut seusai bulan Ramadhan. Moga-moga ia memiliki perisai yang ampuh untuk terus bertahan dalam menempuh kehidupan berbekalkan perisai “al-taqwa”.

Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w :

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – أنَّ رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال : "الصِّيَامُ جُنَّةٌ، فَلاَ يَرْفثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائمٌ – مَرَّتَيْنِ – وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ – تَعَالَى – مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ، يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي، الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَاز"

[أخرجه البخاري]
 

Daripada Abi Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda : ” Puasa itu adalah perisai, maka barangsiapa yang berpuasa hendaklah dia menahan daripada perkataan kotor (yang memberahikan) dan perbuatan jahil, dan apabila  ada orang lain yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka hendaklah dia mengatakan “Aku orang yang sedang berpuasa -sebanyak dua kali-, demi jiwaku yang berada didalam kekuasaan-Nya, bau (tidak enak) dari mulut orang yang berpuasa itu lebih harum disisi Allah s.w.t daripada haruman kasturi, dia meninggalkan makan dan minumnya demi Aku, puasanya adalah untuk Aku, dan Aku sendiri yang akan memberi ganjaran kepadanya, dan bagi satu-satu kebaikan itu sepuluh ganjaran pahala.”

[Hadith riwayat Imam Bukhari]

Memahami hakikat ini sepatutnya menjadikan kita lebih menghargai bulan ramadhan al-mubarak. Rebutlah sebanyak mungkin ganjaran pahala dan pengampunan dosa yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t  dengan melaksanakan segala ibadah, baik yang sunnat mahupun yang wajib di dalam bulan ini. Setiap ibadah pula dikerjakan dengan penuh ketekunan khususnya ibadah berpuasa itu sendiri agar perisai al-taqwa dapat dibina didalam jiwa. Moga-moga kefahaman yang sedikit ini benar-benar menjadikan kita tergolong dalam kalangan orang yang berakal. Berkata Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah :

" ليس العاقل الذي يعرف الخير والشر، ولكن العاقل الذي يعرف الخير فيتبعه، ويعرف الشرّ فيتجنبه"

:“ Bukanlah orang yang berakal itu (hanya) mengetahui perkara yang baik dan buruk, akan tetapi, orang yang berakal itu adalah apabila mengetahui suatu yang baik,dia mengikutinya, dan apabila mengetahui sesuatu yang buruk, dia menjauhinya”

Moga Allah s.w.t menerima segala amalan kita dan menjadikan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang apabila ia memendengar suruhan kearah kebaikan ia mengikutinya.

Ramadhan Kareem. Allahu Akbar.

 

Ust Izzat Husman
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

                                                                         
 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.