Bagaimana mendidik anak berpuasa

puasa kanak

Soalan : Ust, saya mempunyai seorang anak berumur 9 tahun, saya ingin membantunya dalam berpuasa. Jadi bagaimanakah saya dapat didik dia berpuasa penuh bulan Ramadan? Tahun lepas dia berjaya puasa lebih kurang 15 hari sahaja.

Pertamanya, kehendak untuk mendidik anak berpuasa adalah suatu perkara yang sangat baik. Itu menunjukkan tuan atau ibu bapa tersebut mengambil berat dan cakna dalam memastikan anak-anak tersebut kelak mudah untuk tunduk mengikut segala perintah dan suruhan Allah swt. Namun kehendak itu perlulah dilihat secara betul dan tepat agar ianya benar-benar menjadi satu didikan dan bukan satu penyeksaan.

Dari segi syarak, kanak-kanak yang berumur 9 tahun tidaklah dipertanggungjawabkan menunaikan ibadah puasa kerana dia masih lagi belum baligh. Namun ibu bapa kanak-kanak tersebut mempunyai suatu tanggungjawab untuk mendidik anak tersebut dalam hal ibadat. Atas dasar inilah Islam menyuruh kita untuk mendidik anak kita dalam hal solat seawall tujuh tahun dan boleh memukulnya (dengan tujuan dan cara mendidik) ketika umur 10 tahun.

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ" [أبو داود (495) وصححه الألباني في “صحيح أبي داود”]

"Perintahkan anak-anak kalian untuk melakukan shalat saat usia mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka saat usia sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka." (riwayat Abu Daud)

Kita banyak mendengar akan hadis-hadis berkenaan didikan solat namun sebenarnya terdapat juga hadis-hadis yang menceritakan baginda saw dan sahabat ra mendidik kanak-kanak dan anak mereka berpuasa ketika masih kecil.

عن الربيع بنت معوذ قالت : أرسل النبي صلى الله عليه وسلم غداة عاشوراء إلى قرى الأنصار: (من أصبح مفطرا فليتم بقية يومه، ومن أصبح صائما فليصم). قالت: فكنا نصومه بعد، ونصوم صبياننا، ونجعل لهم اللعبة من العهن، فإذا بكى أحدهم على الطعام أعطيناه ذاك حتى يكون عند الإفطار.

Dari Ar-Rubayyi’ binti Mu’awwidz, ia berkata : “Nabi saw mengutus seseorang di waktu siang hari Asyura ke kampung Anshaar dengan mengatakan : ‘Barangsiapa di waktu pagi dalam keadaan berbuka, hendaklah ia menyempurnakan (dengan berpuasa) di baki harinya. Dan barangsiapa di waktu pagi hari dalam keadaan berpuasa, hendaklah ia meneruskan puasanya”. Ia (Ar-Rubayyi’) melanjutkan : “Sehingga sejak hari itu kami berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan anak-anak kami untuk berpuasa pula. Untuk itu kami membuatkan mainan (anak-anak) yang terbuat dari wol. Jika salah satu di antara anak-anak kecil tersebut menangis karena ingin makan, kami berikan kepada dia mainan tersebut hingga datangnya waktu berbuka” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhaariy no. 1960 dan Muslim no. 1136].

وقَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لِنَشْوَانٍ [أي: سكران] فِي رَمَضَانَ: “وَيْلَكَ! وَصِبْيَانُنَا صِيَامٌ!”، فَضَرَبَهُ. [رواه البخاري – معلَّقاً – باب صوم الصبيان].

"Dan telah berkata Umar ra kepada orang yang mabuk pada bulan Ramadan: "Celaka kamu, anak-anak kecil kami (sedang) berpuasa, lalu beliau memukulnya". (riwayat Bukhari)

Jelas disini mendidik anak-anak untuk berpuasa adalah suatu Sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan diamalkan sendiri oleh sahabat-sahabat Baginda. Maka mengajar anak untuk berpuasa akan mendapat pahala sebagai satu Sunnah.

Berkenaan umur untuk memaksa anak berpuasa penuh sepanjang Ramadan adalah suatu umur yang dkhilafkan dikalangan fuqaha’. Sebahagian fuqaha’ meletakkan umur 10 tahun sepertimana umur tersebut dibolehkan untuk dipukul anak tersebut apabila tidak menunaikan solat. Yang penting ialah ianya satu umur yang membolehkannya berpuasa namun tidak sehingga menyeksa.

Jadi umur-umur sebelum itu adalah suatu tempoh untuk mendidik anak-anak kearah berpuasa. Kita tidak sepatutnya terlalu keras contohnya sehingga meletakkan anak tersebut mesti berpuasa penuh sepanjang Ramadan seawall 5 atau 6 tahun. Walaupun boleh jadi anak tersebut boleh menyempurnakan puasa tersebut tetapi objektif pendidikan anak-anak dalam berpuasa tidak akan tercapai.

Adapun berkenaan cara untuk didik anak-anak berpuasa telah banyak dibincangkan oleh ramai penulis. Antaranya ialah:

  1. Menceritakan kepada anak-anak akan kelebihan berpuasa dari segi duniawi dan juga balasan di akhirat kelak.
  2. Mendidik anak supaya berpuasa beberapa hari ketika bulan syaban supaya dia tidak terkejut apabila tibanya Ramadan
  3. Puasa sebahagian hari yang kemudiannya dipanjangkan tempoh sedikit demi sedikit.
  4. Mendidik anak sejak kecil untuk bangun sahur pada akhir malam.
  5. Memberi sebarang hadiah sebagai tanda penghargaan atas kesungguhan dia berpuasa.
  6. Melupakan anak-anak terhadap kepenatan puasa dengan banyak bermain bersamanya, membaca buku, menonton kartun yang bermanfaat dan lain-lain. Namun jika masih tidak larat ajarkan untuk tidur.
  7. Didik anak-anak untuk menyukai membantu ibu di dapur dalam menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.
  8. Jumpakan kanak-kanak tersebut dengan kanak lain yang berpuasa supaya mereka boleh merasakan kepenatan itu bukanlah hanya dirasakan oleh dia seorang.

Banyak lagi cara-cara untuk mendidik anak berpuasa yang kita boleh dapat. Cumanya suatu perkara yang sangat penting adalah kita hendaklah jelas dengan setiap cara yang kita buat supaya ianya bermotifkan pendidikan serta bukan penderaan atau penyeksaan. Antara sifat utama dalam sebuah pendidikan adalah ianya hendaklah berperingkat-peringkat. Mendidik anak untuk semakin hampir kepada Allah swt selamnya tidak mungkin berjaya apabila pendidikan itu bercampur baur dengan hawa nafsu. Didiklah anak itu bukan sekadar membuat ibadat tetapi lebih daripada itu iaitu mencintai ibadat.

 

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 234 access attempts in the last 7 days.