Nafkah bapa terhadap keluarga ditanggung oleh anak?

give money

 

 

Saya tinggal di rumah ibubapa mertua .. Saya ingin tahu apakah tindakan bapa mertua yang tidak mahu bekerja sebaliknya menyerahkan tangungjawab memberi nafkah kepada empat orang isteri  dan tiga anak  yang masih lagi menuntut di IPTA kepada suami dan ipar duai saya semata-mata? Kadangkala bapa mertua mengungkit dan  berungut wang yang diberi anak-anaknya tidak cukup untuk berbelanja buat dirinya, isteri dan anak sebaliknya menyalahkan anak-anak lain yang tidak membantunya dengan menghulurkan lebih banyaK wang setiap bulan.  Wajarkah saya katakan kepadanya untuk tidak menjadikan alasan sudah pencen maka  tidak perlu bekerja dan menyerahkan semua tanggungjawab sebagai suami/bapa untuk memberi nafkah isteri dan anak yang masih lagi menuntut di IPTA itu kepada suami dan ipar duai saya semata-mata?

 

Menantu Prihatin, Selayang, Selangor.

Memang benar bahawa di dalam mazhab Syafie adalah menjadi kewajipan kepada anak memberi nafkah ibu bapa mereka. Nafkah bentuk ini adalah salah satu nafkah yang wajib ditunaikan seperti nafkah terhadap isteri dan anak.

Namun memahami isu ini pada kadar ini adalah suatu kefahaman yang tidak sempurna. Isu nafkah ini tidak sepatutnya dilihat sekadar pada bahagian siapa berhak mendapatkannya, ia juga sepatutnya meliputi pada perspektif siapa yang memberi nafkah tersebut. Cara pandang inilah yang diajarkan oleh ulama dalam memahami hal berkaitan nafkah.

Ulama telah meletakkan penilaian kadar pemberian nafkah itu adalah bergantung kepada sejauh mana pendapatan si anak tersebut. Setelah ditolak perkara asas-asas kehidupan, baki itulah menentukan kadar mana yang perlu dibayar. Bermaksud jika seorang anak itu mempunyai wang yang hanya cukup-cukup untuk kehidupannya maka hilanglah kewajipan anak tersebut membayar nafkah kepada kedua ibu bapanya.

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7)

Dalam masa yang sama, kewajipan serta kadar itu juga bergantung kepada kemampuan ibu bapa tersebut. Jika ibu bapa itu sudah mempunyai harta yang banyak sehingga boleh dikatakan mewah, maka tidak diwajibkan nafkah keatas anak tersebut.

Juga hendaklah kita fahami kedudukan nafkah itu berbeza walaupun tanpa menafikan kesemuanya diwajibkan. Maksudnya ialah nafkah yang paling utama kedudukannya adalah nafkah terhadap isteri dan jugaanak-anak, setelah itu barulah nafkah terhadap ibu bapa serta ahli keluarga setelah itu. Perkara ini penting dalam hal jika seseorang itu mempunyai harta lebihan yang sangat sedikit setelah ditolak keperluan asasnya.

Jadi untuk menyelesaikan persoalan yang dikemukan, kesemua perkara ini hendaklah diambil kira. Berapakah kadar kemampuan anak-anak tersebut, berapakah keperluan bapa tersebut, lalu barulah boleh ditentukan berapakah kadar nafkah yang layak serta mampu diberi.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan saudara berkenaan tanggungjawab bapa iaitu berkenaan nafkah anak dan isteri tidak pernah luput serta ianya tidak boleh berpindah kepada pihak yang lain selagi mana dia berada dalam keadaan mampu kerana hukum asal berkenaan nafkah anak dan isteri adalah tanggungjawab bapa tersebut.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 364 access attempts in the last 7 days.