Pahala jemaah di masjid dan di rumah
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, adakah pahala solat jemaah bersama keluarga di rumah masih termasuk dalam kategori mereka yang memperolehi ganjaran 27 kali ganda berbanding solat sendirian? Adakah nas-nas hadis berkenaan ganjaran pahala tersebut adalah terhad kepada solat berjemaah di masjid?
Jawapan:
Banyak kebaikan yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan solat fardu secara berjemaah berbanding dengan solat bersendirian. Antaranya ialah mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda berbanding solat sendirian. Berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
“Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.” (Hadis sahih Riwayat Bukhari)
Ganjaran mereka yang solat berjemaah memperolehi ganjaran 27 kali ganda berbanding solat sendirian. Adakah hadis ini hanya dapat kalau buat di masjid sahaja? Ada ulama kata hanya di masjid. Ada yang kata, janji berjemaah sahaja. Hakikatnya hadis ini membandingkan solat berjemaah dan tidak. Bukan membandingkan antara di masjid atau tidak. Imam Qurtubi mengatakan kalau di masjid dapat bilangan darjat yang sama. Tapi nilainya tidak sama.Contohnya beza antara 10 ringgit dan 10 dollar.
Bilangan sama tapi nilai tak sama. Sekilo beras dan sekilo emas tidak sama. Sama dari segi ‘kam’ tapi tidak sama dari segi ‘kaif’. Kalau solat jemaah di masjid, nilainya tetap sama samada ramai atau tidak. Tapi kalau jemaah bukan di masjid, nilainya bergantung kepada bilangan makmum. Itulah kelebihan solat di masjid.
Dalam hal ini, ada suatu hadis daripada Ubay bin Kaab daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat lelaki yang dilakukan bersama seorang lelaki yang lain lebih afdal (di sisi Allah) daripada solatnya secara bersendirian. (Begitu juga) solatnya bersama dua orang lelaki lebih afdal (di sisi Allah) daripada solat yang dilakukan bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah maka ia semakin disukai di sisi Allah.” (Hadis hasan Riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, solat secara bersendirian atau berjemaah tetap sah. Namun solat secara berjemaah adalah amat dituntut. Ia adalah fardhu kifayah kepada umat Islam yang perlu dilakukan di surau atau masjid demi menzahirkan syiar Islam.
Wallahu a`lam
Husna bt Muhamad Zamani
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah UIAM.