Mereka yang bertuhankan Hawa Nafsu

buku_1

Baru-baru ini timbul kembali isu sekitar topik istilah-istilah dalam Islam seperti ‘negara Islam’, ‘khalifah’ dan lain-lain dalam Al-Quran, Mereka berhujahkan kerana apabila istilah ini tidak disebut secara literal dalam Al-Quran maka ia bukanlah daripada Islam.

Bagi saya permainan istilah tidak akan berkesudahan. Hal ini termasuk antara kejahilan manusia dalam memahami sesuatu hakikat.

Manusia sememangnya gemar dan asyik dengan hal istilah dan terma, sehingga akhirnya mereka diragukan dan merelai keraguan berlaku kepada dirinya.

Paling malang apabila perangkap istilah dan terma ini meragukan manusia daripada hakikat Al-Haq dan kebenaran Islam itu sendiri.

Hakikat Islam sebagai Ad-Deen sesekali tidak akan dapat difahami apatah lagi untuk diimani jika manusia memilih-milih dan bersikap ambil separuh-separuh (yang sesuai dan kena dengan nafsunya) sahaja.

“Al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi mereka yang ragu-ragu” (Aali-Imran: 60)

Adakah benar istilah mahu pun lafaz ‘negara Islam’, ‘kerajaan khalifah’ dan hal berkaitan kenegaraan dan ‘public policy’ tidak wujud secara literal dalam Al-Quran?

Perkara ini sesekali tidak dapat menafikan maksud dan tujuan utama Al-Quran diturunkan kepada Ar-Rasul s.a.w yang menterjemahkan segala hal itu melalui hadith dan sunnah baginda, yang mana keseluruhan kehidupan baginda s.a.w itu adalah syariat dan sistem agar manusia kesemuanya tunduk patuh mentauhid (tidak menyembah selain Allah) kepada Allah s.w.t, menjauhi taghut dan jadikan Islam mengatasi segala agama dan anutan lain.

‘Dia lah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), dengan tujuan untuk memenangkannya dan meninggikannya mengatasi segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (As-Saaf: 9)

Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, abdikan diri kamu kepadaKu”. (Al-Anbiya’: 25)

“Sesungguhnya Kami utuskan kepada tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan agar mereka menyeru manusia): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. (An-Nahl: 36)

Inti dan teras kepada kenegaraan bagi umat Islam adalah dengan menjadikan seluruh subset kepada negara dan kerajaan itu, bermula dari ketua negara sehingga ke rakyat jelata tunduk kepada syariah Allah.

Usaha dan langkah pertama memahami syariah Allah ialah dengan mengakui bahawa ianya datang dari Allah dan kita manusia adalah khalifah (yang di tanggungjawab kan) untuk melaksanakan nya di atas muka bumi.

Kegagalan memahami perkara asas ini akan menterjemahkan kelakuan dan tindakan manusia melawan dan mencabar syariah Allah. Bermula dengan helah ‘interpretasi’ sesuatu lafaz atau kalimah itu kepada maksud lain yang hakikat nya semata ingin justifikasi kehendak nafsu manusia sahaja.

Realitinya, nafsu telah mengambil alih peranan Allah s.w.t bagi manusia seperti ini. Lalu, jadi lah dia manusia bertuhankan nafsu, bukan Allah. Apa sahaja kehendak nafsu, lantas dituruti tanpa bantah. Sebaliknya, perintah dan kehendak Allah di jadikan bahan mainan dan diibaratkan hanya untuk digunakan ikut sesuka hatinya mana yang sesuai.

 

Ust Salman Al-Farisi bin Selamat

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 240 access attempts in the last 7 days.