Menyentuh Al-Quran dalam telefon bimbit

Saya sedikit keliru dengan pandangan yang mengatakan jika kita memuat turun applikasi naskah Al-Quran (bukan terjemahan) di dalam telefon bimbit perlu mengambil wuduk untuk membacanya sama seperti kita memegang sebuah kitab al-quran. Mohon pencerahan.

MOHD AZAHARI AZLAN, Balik Pulau, P. Pinang.

Jawapan:

Ulama menetapkan kewajipan seseorang itu untuk berada dalam keadaan bersuci ketika menyentuh mushaf Al-Quran (bukan ketika membacanya) adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazam:

Bahawa tidak boleh memegang al-Qur’an kecuali orang yang suci

Juga berdasarkan firman Allah SWT:

Tidak menyentuhnya kecuali mereka yang suci (Surah Al-Waqi’ah :79)

Yang ulama fahami daripada takrif istilah mushaf adalah sebuah kitab yang padanya dihimpunkan segala ayat Al-Quran dalam bentuk dicetak secara jelas. Maka atas kefahaman ini, mereka juga bersepakat bahawa sebarang buku yang bukanlah berbentuk tulisan khusus berkenaan ayat Al-Quran seperti kitab agama, tafsir Al-Quran dan lain-lain tidaklah diwajibkan untuk berada dalam keadaan bersuci ketika menentuhnya.

Kembali kepada persoalan berkenaan menyentuh Al-Quran yang telah dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Pertamanya sifat Al-Quran di dalam telefon tersebut bukanlah disifatkan sebagai mushaf, ini kerana Al-Quran yang kita lihat itu hanyalah berbentuk sebuah gambar yang dipancarkan serta bukanlah suatu tulisan yang bercetak.

Jadi apabila sifat tersebut bukanlah mushaf maka hilanglah kewajipan menyentuhnya dalam keadaan berwudhuk. Ini yang disebut dalam kaedah fiqh :

Jika halangan telah hilang maka hal terlarang kembali seperti semula (harus)

Keduanya sifat Al-Quran yang ada di dalam telefon tersebut hanyalah salah satu kegunaan berbanding banyak kegunaan lain yang wujud di dalam telefon seperti menelefon, menulis mesej dan lain-lain. Berbeza dengan mushaf Al-Quran yang tidak mempunyai fungsi lain selain daripada membacanya.

Pandangan inilah yang dipegang oleh ramai ulama semasa seperti Dr Muhd Soleh Munjad, Syiekh Solah Fauzan, Darul Ifta’ Mesir dan ramai lagi.

Cumanya mereka menegaskan, adalah perlu bagi kita untuk memastikan ketika mana kita masuk ke tandas atau tempat-tempat lain yang dilarang padanya membawa Al-Quran atau pun ketika meletakkan telefon di tempat yang rendah, kita hendaklah memastikan aplikasi Al-Quran tersebut telah ditutup dan tidak terpampang pada skrin telefon bimbit bagi menunjukkan hormatnya kita terhadap Kalam Allah SWT.

Wallahua’lam

Ust Muhammad Firdaus bin Zalani

Pegawai Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 383 access attempts in the last 7 days.