Adakah Siyasah Syariyyah semuanya terbuka kepada ijtihad & Perubahan?

“Assalamualaikum Ustaz, betulkan Siyasah itu keseluruhannya adalah bergantung kepada ijtihad-ijtihad baru? Bermaksud ianya terbuka ruang untuk sebarang pandangan atau perubahan?” – Abdullah

Waalaikumussalam wbt. Terima kasih saudara atas persoalan yang amat penting untuk difahami oleh masyarakat moden hari ini.

Untuk mendapatkan jawapan yang tepat dan jelas bagi persoalan tersebut, pertama sekali perlu untuk kita fahami apakah gambaran hakiki “siyasah” supaya hukum yang dikeluarkan berkenaannya adalah tepat. Jika gambarannya tidak tepat, maka tidak tepatlah hukumnya. Ini berdasarkan satu qaedah fiqhiyyah yang menyebut:

“الحكم على شيء بالنفي والإثبات فرع عن تصوره”[1]

“Hukum ke atas sesuatu perkara  sama ada penafian dan pengsabitannya adalah sebahagian daripada gambaran keseluruhannya”

Menurut Abu Al-Wafa’ Ibnu ‘Aqil Al-Hanbali, siyasah adalah apa saja perbuatan yang mendekatkan manusia kepada kebaikan dan menjauhkannya dari kefasadan.[2]

Apabila bincang tentang siyasah, apa yang kita maksudkan adalah siyasah atau politik yang berasaskan syara’ (al-Siyasah al-Syar’iyyah). Ia merupakan politik yang berdiri di atas kaedah-kaedah syara’, hukum-hakamnya dan petunjuk-petunjuknya sepertimana yang dikatakan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi,[3] selari dengan pendapat Imam al-Syafi`ie bahawa;

[4]”لا سياسة إلا ما وافق الشرع”

“Tidaklah politik itu melainkan apa yang menepati Syara’.”

Jika diperhatikan, ulama’ tidak menyatakan siyasah itu ما نطق به الشرع (apa yang disebut oleh syara’), tapi yang disebut ulama’ adalah ما وافق الشرع (apa yang selari/menepati Syarak).

Inilah gambaran umum berkenaan siyasah syar`iyyah. ijtihad-ijtihad ulama’ mengenainya sentiasa terbuka – selagi mana ia selari dengan Syarak – bagi memustuskan perkara terbaik untuk kemaslahatan umum. Dan ijtihad-ijtihad ulama berkaitan siyasah tersebut boleh berubah bergantung kepada uruf dan adat sesuatu tempat serta masa. Ada satu qaedah fiqhiyyah yang cukup masyhur berbunyi;

“لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان”[5]

“Tidak diingkari perubahan hukum hakam itu dengan berubahnya zaman”

Walaubagaimanapun, penting untuk diketahui bahawa terdapat asas-asas Siyasah Syar`iyyah yang wajib kekal, tidak berubah hukumnya dan tidak boleh diijtihadkan lagi (boleh ijtihad pada pelaksanaan/implementasinya sahaja).

Asas yang paling utama dalam siyasah sepertimana yang disebut oleh Syeikh Dr. Abdul Qadir Abu Faris (Seorang Ulama Siyasah Syar`iyyah yang masyhur, tinggal di Jordan dan masih hidup) ialah: 

الحاكمية لله (Al-Hakimiyyah Lillah)[6]

 “Kuasa Pemerintahan adalah milik Allah”

Ia membawa maksud, hanya Allah yang punyai hak menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. Allah adalah pemerintah tertinggi di dunia tak tertanding oleh sesiapa dan sebarang sistem. Manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya. Maka sesiapa yang tidak menjalankan hukum di dunia ini mengikut hukum Allah, ia dihukum fasiq, zalim bahkan kafir, seperti mana yang disebut dalam surah al-Maidah ayat 44, 45, dan 47.

Bertitik tolak daripada asas utama di atas adalah, pemerintah tertinggi negara wajib daripada kalangan orang Islam sahaja. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا[7]

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Terdapat banyak dalil lagi yang mewajibkan pelantikan pemimpin di kalangan orang Islam dan larangan melantik orang kafir sebagai pemimpin.

Perbincangannya mengenai kepimpinan dan asas-asas siyasah yang lain sangat panjang. jika berkesempatan akan ditulis dalam satu tulisan yang lain, insya Allah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, apa-apa bentuk siyasah serta ijtihad-ijtihadnya pada asalnya adalah diharuskan selagi mana ia selari dengan Syarak dan membawa maslahah kepada keseluruhan manusia (tertakluk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah).

Namun perlu diingati bahawa siyasah punyai asas-asas yang tidak boleh ditolak ansur dan wajib dipatuhi sepertimana yang dikatakan di atas. Asas-asas tersebut bersifat kekal selamanya, tidak kira tempat dan zaman.

Wallah A`lam

 

ahmad kUst Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

[1] Al-Isnawi, Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wushul, m/s 26

[2] As-Siyasah As-Syar’iyyah Halah Ghiyab Hukm Islamiy m/s 23

[3] As-Siyasah As-Syar’iyyah fi Dhou’i Nusus As-Syariah wa Maqasidiha m/s 27

[4] Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, At-Turuq Al-Hukmiyah 1/12, I’lam Al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi Al-Alamin 4/283

[5] Al-Zarqa’, Syarh al-Qawaed al-Fiqhiyyah, m/s 129.

[6] Abu Faris, Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 17.

[7] Surah al-Nisa’, ayat 59.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 738 access attempts in the last 7 days.