Memagari rumah dari sebarang gangguan

Adakah sebarang nas yang membolehkab kita ‘memagar’ rumah kita dengan bacaan bacaan ayat al quran di setiap penjuru rumah?Ada kalanya bacaan tadi di buat keatas batu atau kayu dan ditanam ke dalam tanah setiap penjuru rumah.Maka soalan saya yang seterusnya bolehkah hal di atas dikira sebagai usaha jika tiada aenarang nas yang sahih?

Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم

Terdapat hadis yang menggalakkan bacaan surah al-Baqarah untuk `memagar` dan menghindari rumah dari gangguan syaitan.

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :)لَا تَجعَلُوا بُيُوتَكُم مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيطَانَ يَنفِرُ مِنَ البَيتِ الذِي تُقرَأُ فِيهِ سُورَةُ البَقَرَةِ (

“ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca surah al-Baqarah.”

(Hadis Riwayat Imam  Muslim no: 780).

Rasulullah saw juga menganjurkan umatnya berzikir menyebut nama Allah ketika masuk ke dalam rumah supaya terhindar daripada gangguan syaitan;

عن جابر بن عبد الله أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم يقول:) إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيتَهٌ فَذَكَرَ اللهَ عِندَ دُخُولِهِ وَعِندَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُم وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَم يَذكُرِ اللهَ عِندَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيطَانُ: أَدرَكتُمُ المَبِيتَ، وَإِذَا لَم يَذكُرِ اللهَ عِندَ طَعَامِهِ قَالَ: أَدرَكتُمُ المَبِيتَ وَالعَشَاءَ(

Jabir bin Abdullah ra telah mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Apabila seseorang masuk ke rumahnya, lalu berzikir kepada Allah (menyebut nama Allah) ketika memasukinya dan ketika makan, maka berkatalah syaitan, “Tidak ada tempat menginap (bermalam) bagi kamu (yakni syaitan-syaitan yang lain) dan tidak ada makan malam. Dan apabila dia masuk (ke rumahnya) lalu tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkatalah syaitan, Kalian telah mendapatkan tempat menginap. Dan apabila dia tidak menyebut nama Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan, Kalian mendapatkan tempat menginap dan makan malam.”

(Hadis Riwayat Imam  Muslim no: 2018).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw juga mengajarkan doa supaya terhindar daripada bisikan syaitan, hasad dengki dan `ain (panahan sihir melalui pandangan mata). Doa ini juga boleh diamalkan untuk `memagar` diri dan rumah.

 )  أعوذ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِن كُلِّ شَيطَانٍ وَهَامَّة ، وَمِن كُلِّ عَينٍ لَامَّةٍ(

 “Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna, daripada syaitan dan bisikannya, dan daripada mata yang menyihir (panahan sihir melalui pandangan mata).”

(Hadis Riwayat Imam  Bukhari no: 3371).

Daripada hadis-hadis yang disebutkan, tiada petunjuk daripada Rasulullah saw yang mengkhususkan sebarang bacaan dibuat ke atas batu atau kayu dan ditanam di setiap penjuru rumah, jadi memadai dengan mengamalkan zikir dan doa yang disebutkan di atas bagi menghindari rumah daripada sebarang gangguan.

Wallahu a`lam

 

wan muhd
 
 
Ust Wan Muhammad
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1422 access attempts in the last 7 days.