IlmiahSyariahUtama

Haram Wala’ Dan Tahaluf Dengan Bukan Islam

Pendahuluan

Saya lihat, kejahilan mengenai Wala’ & Bara’ merupakan satu “masalah Aqidah moden” yang halus lagi kritikal khususnya di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang agama. Sangat malang bila ada para pemimpin parti, gerakan Islam, juga tokoh-tokoh masyarakat sendiri jahil mengenai Wala’ & Bara’, lantas memberi kesan yang bukan sahaja merugikan diri sendiri, bahkan umat Islam keseluruhannya di Malaysia.

Betitik tolak dari ini, saya terpanggil untuk menulis sedikit nota penting bagi menerangkan hakikat Al-Wala’ & Al-Bara’ menurut Islam. Moga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua

Maksud Wala’ & Bara’

Wala’ dan bara’ adalah dua benda yang berlawanan.

Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Al-Qahthoni menjelaskan dalam kitabnya “Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam”  bahawa maksud wala’ adalah : Pertolongan, Kasih Sayang, Penghormatan, Memuliakan, mencintai, secara zahir dan batin.

Beliau menambah, wala’ kepada orang kafir bermaksud mendekati mereka dan menzahirkan kecintaan dan kasih sayang terhadap mereka, dengan perkataan, perbuatan, dan niat.[1]

Imam As-Syahid Syed Qutub  menjelaskan apa yang dimaksudkan wala’ kepada orang kafir ialah saling tolong menolong dan saling berpakat (tahaluf) sesama mereka, di mana orang Islam keliru akan perkara dan menyangka ianya adalah diharuskan (tidak haram).[2]

Maksud Bara’ pula adalah berlepas diri, menjauhi, dan memusuhi selepas memberi peringatan dan amaran.[3]

Syeikh Al-Islam Al-Imam Ibnu Taimiyah menerangkan, wala’ adalah lawan kepada permusuhan. Asal Wala’ adalah kasih sayang dan mendekati manakala asal Permusuhan adalah kebencian dan menjauhi.[4]

Hukum Wala & Bara’ Dalam Islam

Allah swt berfirman :

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ

 “Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, niscaya lepaslah ia dari pertolongan Allah”  (Ali-Imran : 28)

Firman Allah swt lagi :

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا 

 “Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahwa mereka akan mendapat siksaan yang pedih, (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong (memberi wala’ kepadanya) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah”  (An-Nisa’ : 138-139)

 Firman Allah swt lagi :

 

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”   (At-Taubah : 71)

 Firman Allah swt lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia (memberi wala’  kepada mereka) yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), karena rasa kasih sayang. Padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu”  (Al-Mumtahanah : 1)

 Daripada ayat-ayat Al-Quran di atas, dapat kita fahami bahawa :

1) Al-Wala’ adalah wajib ke atas orang Islam sesama orang Islam secara umum. Tak kira samada di kalangan pemimpin mahupun rakyat.  Tidak kira latar belakang keluarga mahupun parti. Hubungan sesama orang Islam dibina atas dasar Wala’

2) Haram wala’ kepada orang kafir.  Hubungan kita dengan orang kafir dibina atas dasar Al-Bara’.

Penjelasan

1. Sebagai muslim, kita wajib  wala’ kepada orang Islam. Wajib mengasihi dan mencintai orang Islam. Jika mereka melakukan dosa, kezaliman atau kesalahan, wajib ditegur semampu mungkin. Kesalahan mereka wajar dikenakan hukuman selayaknya. Namun, tindakan ini tidak manghapuskan wala’ kita kepada mereka kerana mereka masih lagi beragama Islam.

Bertepatan dengan saranan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah : “Jika di sana ada seorang mukmin, maka hendaklah wala’ kepadanya meskipun beliau zalim, kerana kezaliman seorang mukmin tidak memutuskan  Wala’ keimanan”[5]

2. Bara’ pula wajib ke atas orang Islam terhadap orang kafir. Maknanya, kita wajib berlepas diri daripada kesyirikan mereka dan membenci perbuatan yang telah melanggar hak Allah itu.

Apakah lagi kezaliman paling besar selain mensyirikkan Allah?

Firman Allah s.w.t :

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“sesungguhnya syirik adalah benar-benar kezaliman yang besar”   (Luqman : 13 )

3. Orang Islam yang sebenar sama sekali tidak akan mecintai kafir, musuh Allah. Sebagaimana FirmanNya :

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ

“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka.”  (Al-Mujadalah  : 22)

 Beza Wala’ dan Tasamuh Dengan Kafir

1. Kita perlu bezakan antara  wala’ kepada kafir dan tasamuh (berbudi/buat baik) dengannya. Keduanya berlawanan. Wala’ kepada orang kafir diharamkan dan Tasamuh dengannya pula diharuskan.

Ramai orang hari ini mencampur adukkan keduanya lantas mendakwa kononnya bersifat tasamuh dengan orang bukan Islam padahal mereka sedang wala’ kepada bukan Islam.

2. Menurut Imam As-Syahid Syed Qutub, tasamuh yang dibolehkan hanyalah dalam muamalah individu. Bukan dalam isu aqidah. Juga bukan dalam urusan sistem sosial & politik atau sistem kenegaraan.[6] Kerana, maqasid poltik dan negara Islam adalah menegakkan syariah Allah. Mustahil musuh Allah ini mampu redha dengan penegakan syariah di dunia ini.

3. Tasamuh yang dimaksudkan juga hendaklah tidak sampai tahap kita meredhai orang kafir kekal dengan agama mereka[7]

Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibubapanya sekalipun mereka berdua kafir. Firman Allah swt :

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

 “Dan jika kedua (ibubapa) memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik”   (Luqman : 15)

 4. Menurut Imam Ibnu Hajar, berbuat baik,hubungan, dan ihsan dengan orang kafir tidaklah melazimkan kasih sayang, saling mencintai dengan mereka yang telah dilarang.[8]

Implementasi  Wala’ & Bara’ Dalam Sejarah Islam

Terdapat banyak contoh praktikal wala’ & bara’ yang dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabat r.a. Saya hanya memetik beberapa peristiwa sahaja :

1. Dalam kitab Sahih Muslim ada merekodkan bahawa seorang pemuda kafir menyampaikan hasratnya untuk menyertai Rasulullah dan Para Sahabat (sebelum Peperangan Badar). Rasulullah dengan tegas berkata kepadanya : “Pulanglah, Aku sesekali tidak akan meminta pertolongan dari orang musyrik”[9]

2. Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah r.a sanggup membunuh ayahnya sendiri yang kafir dalam peperangan badar.[10]  Hubungan darah tidak menghalang Abu Ubaidah dari memberi wala’ kepada Allah dan RasulNya serta berlepas diri & benci kekafiran dan permusuhan ayahnya terhadap Islam.

3. Malapetaka menimpa Ka’ab bin Malik r.a dimana beliau dipulau oleh Rasulullah dan Para Sahabat kerana tidak menyertai peperangan tabuk. Hatta isterinya turut memulaunya lalu kembali ke rumah keluarga. Pulauan yang menyeksakan, sehingga ucapan salamnya pun tidak dijawab oleh sesiapa.

Maka ketika itu datang seorang utusan dari Syam menyampaikan tawaran hebat dari Raja Ghassan untuk mengajak Ka’ab menyertainya dan diberi segala keperluan dan pertolongan.

Lantas Ka’ab menyebut “dan ini juga adalah malapetaka”. [11]

4. Begitu juga dengan sahabat agung, Abdullah bin Huzafah As-Sahmiy r.a ketika menjadi tawanan Rom. Raja Rom menawarnya separuh dari kuasa pemerintahan kepadanya dengan syarat meninggalkan Islam. Abdullah As-Sahmiy menolak tawaran itu lalu diugut bunuh dan diseksa. Beliau tetap tidak menerima tawaran tersebut dan lebih rela untuk diseksa dan dibunuh.

Implementasi Wala’ & Bara’ di Malaysia

Keunikan Malaysia yang mempunyai masyarakat yang berbilang agama yang hidup bersama di dalam kawasan kejiranan, universiti dan pejabat, menjadikan isu Al-Wala’ & Al-Bara’ amat penting dan kritikal untuk difahami agar tidak terilap langkah yang boleh lari dari Aqidah Islam yang sahih seperti ‘ter’iktiraf agama selain islam atau ‘ter’redha dengan agama selain Islam.

Bagaimana pendirian kita sebagai muslim terhadap bukan Islam di Malaysia?

1. Jawapannya mudah, jika mereka tidak melawan dan tidak memusuhi Islam, hendaklah bermuamalah dengan baik dengan mereka seperti mana firman Allah saw :

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”     (Al-Mumtahanah : 8)

2. Perlu diingat, muamalah yang baik ini tidak membatalkan kewajipan bara’ terhadap syirik mereka kepada Allah.

Mungkin kita rasa kasihan melihat mereka syirik kerana jahil, maka wajiblah kita dakwah mereka dengan hikmah. Menerangkan Aqidah Islam yang sahih. Mengajak mereka mengenali  Allah yang Maha Esa serta menerangkan tentang keindahan Islam.

3. Menurut Syeikh Muhammad Ar-Rasyid, meminta pertolongan/tahaluf Siyasi dengan negara, parti, atau kumpulan kafir (bukan secara individu) adalah dilarang[12] dan hanya boleh berlaku dalam situasi pengecualian ketika memang terpaksa dan memerlukan, dengan mengikut syarat ketat[13] yang menguntungkan Islam.

Salah satunya adalah mestilah kelompok Islam lebih dominan serta lebih kuat (syaukah) -sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh As-Syaibani, As-Sarakhsi, dan Al-Karabisi- supaya dapat mengelak dari mudharat kemungkinan berlakunya pengkhianatan.

4. Syeikh Munir Muhammad al-Ghadhban dalam kitab At-Tahaluf As-Siyasi fi Al-Islam telah
menerangkan 3 jenis tahaluf yang diharamkan :

  • Tahaluf yang memungkinkan musuh bertindak menyerang gerakan Islam, dimana  dapat diketahui kekuatannya dan diketahui hasad & bencinya terhadap Islam.
  • Tahaluf pemikiran yang mendorong orang Islam menerima pemikiran selain Islam. Atau ‘tenang’ dengan Aqidah yang batil dan memperakuinya )إقرار( atau sebahagiannya dengan hujah maslahah. Ini sudah keluar dari Islam dan kufur.
  • Tahaluf yang membawa kepada perpecahan saf umat Islam dan melemahkannya. Ini akan membawa kepada peperangan di dalam saf umat Islam dan berlakunya fitnah. Ketahuilah bahawa fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh. Inilah sebenarnya objektif musuh

5. Persoalannya, adakah Tahaluf Siyasi yang dilaksanakan parti Islam di Malaysia dengan Parti bukan Islam mengikut neraca syara’?

Apakah keuntungan umat Islam dari tahaluf Siyasi PAS, PKR, dan DAP?

Saban hari DAP menyerang umat Islam, menggugat perlembagaan negara, adakah ini yang dinamakan tahaluf siyasi mengikut syara’?

Apa yang terjadi adalah pemimpin dan masyarakat semakin cair dengan agenda liberalisme dan pluralism. Identiti dan jatidiri melayu muslim yang menjadi tonggak Islam di Malaysia semakin cair dek projek normalisasi barat.

6. Solusinya, umat Islam wajib bersatu. Cukup-cukuplah kita dipermainkan oleh musuh Islam. Bersatu di sini bukanlah bermakna meleburkan identiti, kumpulan, parti masing-masing, tapi bersepakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan agama Islam dan masa depan umat Islam di Malaysia. Sebagaimana NGO-NGO Islam di Malaysia boleh bersepakat menjayakan projek dakwah, seperti itulah UMNO dan PAS perlu bersepakat di dalam dan di luar Dewan Parlimen, memenangkan segala agenda dan projek yang menguntungkan Islam serta mempertahankan hak umat Islam di Malaysia.

7. Sedarlah musuh kita bukanlah UMNO/PAS/ ISMA/ IKRAM/ABIM atau segala gerakan Islam yang lain. Teguran dan kritikan yang timbul sesama kita sepatutnya berlaku atas dasar wala’.

Musuh kita yang sebenar adalah Syaitan dan sekutunya. Musuh kita adalah Musuh Allah, golongan Kafir yang tidak pernah putus asa menyerang kita.

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka”                    (Al-Baqarah : 120)

8. Pertubuhan Liberal seperti Islamic Renaissance Front, Sister In Islam, Projek Dialog, KOMAS yang berkiblatkan liberalisme sudah terang-terangan membawa idea yang menyeleweng dari Islam. Wala’ mereka dengan Liberalisme, Sekularisme, dan Hak Asasi Manusia tajaan barat wajib dihapuskan dan mereka wajib kembali kepada Hak Asasi Manusia berlandaskan Syara’.

Selagi mana mereka masih tidak berubah, tidak ada ruang bagi orang Islam untuk berhenti menegur mereka dengan tegas. Juga tidak ada alasan bagi orang Islam terutama  anak muda untuk terus bersama menyertai mereka.  Kepada rakan saya, pelajar syariah, yang masih berada di dalam IRF. Saya terus berharap agak anda semua keluar dari IRF.

Kesimpulan

Inilah hukum asal bagi wala’ & bara’.

Wala & bara’ wajib difahami dengan teliti oleh umat Islam khususnya di Malaysia. Ia adalah ilmu penting yang melibatkan isu Aqidah umat Islam.

Siapa yang wala’ kepada orang kafir, sesungguhnya ia tergolongan dalam golongan kafir.

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصارى أَوْلِياءَ. بَعْضُهُمْ أَوْلِياءُ بَعْضٍ. وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali (wala’ kepadanya), kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu”

Orang kafir sesekali tidak akan meredhai kita. Kita jangan terlalu naif dan mudah diperdaya oleh mereka. Sejarah telah menunjukkan perbuatan kejam mereka terhadap umat Islam dan mereka ‘bijak’ menutup kesalahan mereka dengan menjadi hero mempromosi Hak Asasi Manusia dalam PPB, kononnya memperjuang keadilan dunia.

Jangan kita lupa merekalah yang telah mencetuskan perang salib ke umat Islam selama 200 tahun.

Merekalah yang telah berlaku kejam terhadap umat Islam di Spain satu ketika dahulu.

Merekalah yang telah menyeksa dan menghalau umat Islam dari Palestin dan mengisi tanah suci itu dengan yahudi laknatullah.

Mereka lah yang menyerang dan membunuh umat Islam di Burma, Bosnia, Somalia, Syria, Mesir dengan pelbagai cara. Sangat malang bilamana orang Islam sendiri yang menjadi kakitangan dan pak turut mereka menghancurkan Islam di negara-negara seluruh dunia.

Ingatlah, wala’ & bara’ adalah isu aqidah. Ia adalah manifestasi kalimah Syahadah, rukun Islam pertama.
Samada kita bersama saf perjuangan Islam, ataupun saf perjuangan musuh Islam. Tiada pilihan ketiga.

Wallah A’lam

 

ahmad kUst Ahmad bin Khairuddin
Kuliah Syariah, Fiqh & Usul Fiqh
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 


[1] Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam, 1/71

[2] Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/909

[3] Al-Wala’ wa Al-Bara’ fi Al-Islam, 1/71

[4] Majmu’ Al-Fatawa 11/160 dan Al-Furqan baina Auliya’ Ar-Rahman wa Auliya’ As-Syaitan 1/9

[5] Majmu’ Al-Fatawa 28/208

[6] Lihat : Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/912

[7] Tafsir fi Zilal Al-Quran 2/910

[8] Fathu Al-Bari li Ibni Hajar 5/233

[9] Lihat : Sahih Muslim 3/1449

[10] Lihat : Fathu Al-Bari li Ibni Hajar 7/93

[11] Lihat : As-Sirah An-Nabawiyyah li Ibn Kathir 4/45

[12] Usul Ifta’ wa Al-Ijtihad At-Tatbiiqi fi Nazariyat fiqh Ad-Dakwah Al-Islamiyyah 4/257

[13] Rujuk : Usul Ifta’ wa Al-Ijtihad At-Tatbiiqi fi Nazariyat fiqh Ad-Dakwah Al-Islamiyyah 4/266

2 thoughts on “Haram Wala’ Dan Tahaluf Dengan Bukan Islam

Leave a Reply