Antara Suami dan Ibu Bapa

suami isteri
Assalamualaikum ustaz,saya nak tanya..1bulan lepas,saya ada pertelingkahan dengan suami saya dan kedua ibu bapa saya telah campur tangan dangan dlm pertelingkahan tersebut.dalam pertelingkahan itu,suami saya telah memukul saya.kedua ibu bapa saya telah memberi kata dua kpd sy samada sy ingin teruskan hbgn ini ataupun berpisah..jika sy memilih suami,sy akan kehilngan ibu bapa..dan jika sy memilih ibu bapa,sy akan kehilangan suami..sy tersepit di antara suami dan ibu bapa..suami sy telah memohon maaaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.sy telah memilih suami sy dan skrg ini ibu bapa sy tidak mengizinkan sy jejakkan kaki ke kampung..ustaz,,,bantulah sy..-azniza
 
 Jawapan:
 
Puan Azniza,

 Kehidupan berumah tangga pastinya tidak lari dari ujian dan dugaan. Apabila berlaku pertelingkahan, perbaikilah dengan cara yang terbaik. Sekiranya ia dapat diselesaikan antara suami dan isteri, maka tidak perlu melibatkan pihak ketiga yang mungkin akan lebih mengeruhkan keadaan.

Namun apabila ibu bapa telah campur tangan dan berlaku pertembungan antara mendahulukan suami atau ibu bapa, puan hendaklah mengutamakan ketaatan kepada suami. Perlu diingatkan bahawa seorang wanita apabila ia telah menjadi seorang isteri, ketaatannya berpindah daripada kedua ibu bapa kepada pihak suami.

Ini berdasarkan hadis dari Aisyah yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”. Jawab Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi; “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (HR al-Hakim dan beliau mensahihkannya)

Dalam Al-Musnad dan Sunan Ibnu Majah, dari Aisyah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:

لَوْ أَمَرْتُ أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، وَلَوْ أَنَّ رَجُلاً أَمَرَ امْرَأَتَهُ أَنْ تَنْقُلَ مِنْ جَبَلٍ أَحْمَرَ إِلَى جَبَلٍ أَسْوَدَ، وَمِنْ جَبَلٍ أَسْوَدَ إِلَى جَبَلٍ أَحْمَرَ لَكاَنَ لَهَا أَنْ تَفْعَلَ

“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Seandainya seorang suami memerintahkan isterinya untuk pindah dari gunung merah menuju gunung hitam dan dari gunung hitam menuju gunung merah maka si isteri harus melakukannya”.

Maka, tindakan puan untuk memilih suami adalah benar kerana ketaatan isteri adalah kepada suaminya.

Walaubagaimanapun,  perkara ini hendaklah dibincangkan bersama ibu bapa puan dengan berhikmah. Taat kepada suami dan taat kepada kedua ibu bapa kedua-duanya adalah kehendak syariat Islam. Jika ada ibu bapa yang menghalang anaknya taat kepada suami, maka ibu bapa itu telah melanggar syariat. Begitu juga suami yang menghalang isterinya taat kepada ibu bapanya, dia juga telah melanggar syariat kerana cuba memutuskan silaturrahim. Mana-mana arahan yang melanggar syariah, tidak wajar diikuti oleh mana-mana pihak pun.

Tindakan ibu bapa puan meminta untuk puan berpisah dengan suami sebenarnya adalah satu bentuk kezaliman. Ibu bapa tidak boleh melarang si isteri untuk mentaati suaminya. Dan tidak boleh juga bagi si isteri mentaati ibu bapanya agar berpisah dengan si suami apabila jelas si suami seorang yang bertaqwa kepada Allah.

Hadis Nabi dari Tsauban RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW  bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا الطَّلاَقَ مِنْ غَيْرِ مَا بَأْس َفَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

“Wanita yang meminta cerai dari suaminya tanpa ada apa-apa alasan maka haram baginya mencium bau wangi syurga”.

Dalam hadis yang lain:

الْمُخْتَلِعَاتُ وَالْمُنْتَزِعَاتُ هُنَّ الْمُنَافِقَاتُ

“Isteri-isteri yang minta khulu’ dan mencabut diri (dari pernikahan),mereka itu wanita-wanita munafik.”

Namun, sekiranya jelas si suami menyuruh melakukan maksiat kepada Allah, tidak perlu lagi seorang isteri untuk taat kepada suaminya.

 إِنَّهُ لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوْقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam (arahan) bermaksiat kepada Khaliq (pencipta)”.

Oleh itu, taatlah kepada suami dan terus berada di sisinya selama mana arahan suami itu tidak bertentangan dengan syariat. Dalam masa yang sama, berusahalah untuk menyambung kembali silaturrahim dengan ibu bapa dan memperbaiki hubungan dengan mereka kerana itu juga satu tuntutan dalam Islam.

Wallahua’lam.

 

fatin halil
 
 
Ustazah Nur Fatin binti Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.