Menyelamat Umat dari kepekatan gelap gulita

Nama Kitab: Menyelamat Umat dari kepekatan gelap gulita
Tajuk Asal: الغياثي – غياث الأمم في التياث الظلم
Karangan: Imam al-Haramain al-Juwaini (419H-478H)
Manuskrip dikaji oleh: Dr.Abdul Azim Ad-Dib
Ditahzib oleh: Syeikh Ahmad Ar-Rasyid
Tajuk baru: الفقه اللاهب (Feqah yang bernyala-nyala)

Satu kitab yang mantap dalam pembentangan idea-idea. Di sini saya perturunkan mukadimah dua orang ilmuan, iatulah syeikh Ahmad ar-Rasyid dan Dr Abdul Azim ad-Dib ketika mereka menulis mukadimah kitab ini. Mukadimah Ahmad ar-Rasyid dalam kitab الفقه اللاهب Saya mendapati mazhab al-Juwaini dalam isu siyasah dan dakwah, seperti yang terkandung di dalam "al-Ghiyathi", merupakan mazhab fuqaha' yang paling hampir dengan fikrah Islam semasa dan fiqh pengalaman dakwah. Justeru usaha memurnikannya (tahzib) mesti dilakukan seperti mana pemurnian kitab "Madarij Salikin" yang telah saya usahakan sebelum ini. Pada mulanya saya namakan hasil pemurnian ini sebagai "غيث الغياثي" bersempena dengan Iimpahan hujan keberkatan kitab ini. Kemudian saya tukar tajuknya menjadi "الفقه اللاهب" (Fiqh yang bernyala-nyala) bersesuaian dengan sifatnya yang bernyala-nyala, di samping kalimah "Lahib" itu saya pinjam dari penggunaan al-Juwaini sendiri.

Saya berharap para pendakwah menyambut baik produk-produk hasil pemurnian kitab-kitab lama ini seperti mana mereka menyambut karangan para pemikir dakwah. Ini kerana sebahagian asas manhaj tarbiah dakwah bersandar pada kalam salafussoleh. Oleh sebab itu hasil karangan mereka ini perlu diperbaharui persembahannya dan dimurnikan sesuai dengan lafaz bahasa, cita rasa minda dan keperluan dakwah semasa. Matan kitab asal amat panjang. Ini ditambah dengan komentar dan nota-nota Dr. Abdul Azim ad-Dib di antara matan-matan itu. Penerbit pula menggunakan saiz huruf yang besar, di samping terdapat banyak ruang-ruang kosong. Kesemuanya itu menjadikan kitab ini tebal, sehingga bukan calang-calang orang berani mendekatinya.

Saya telah meringkaskan dan memurnikan kitab ini sehingga tinggal hanya seperlima dari saiz asalnya. Separuh daripada ketebalan kitab itu hilang apabila saya tinggalkan semua komentar Dr. Abdul Azim ad-Dib, kecuali sedikit yang saya rasakan jika ditinggalkan akan menyebabkan beberapa tempat di dalam kitab ini sukar difahami.

Sesungguhnya kitab "al-Ghiyathi" merupakan sebahagian hasil istinbat dan qias yang amat mantap, sehingga orang yang mempunyai latarbelakang ilmu syarak akan segera menyedari keistimewaannya. Oleh itu tidak perlu banyak dorongan dan pelawaan untuk menelaah buku ini.

Di dalam buku ini, al-Juwaini membicarakan perihal pemerintahan awam dan Imamah dari sudut "Kemampuan dan Kelayakan". Apabila beliau berkata "Ketiadaan Imam pada zaman itu", beliau tidak bermaksud tidak ada langsung pemerintah yang berkuasa. Beliau bermaksud salah satu daripada tiga perkara berikut:

1) Imam yang ada tidak layak atau tidak berkebolehan, amat lemah dan kurang pengalaman atau pengetahuan.

2) Imam itu layak, tetapi pengaruhnya terbatas pada sebahagian Umat dan sebahagian tempat sahaja.

3) Imam fasik, tidak layak dan tidak mendapat bai’ah. Dia memerintah menggunakan kekerasan.

Beliau turut meletakkan kesalahan pada orang ramai juga, kerana mereka tidak berani tampil ke depan dan tidak mencegah kemungkaran.

Sayugia diingatkan juga, al-Juwaini mengungkap mazhab siasah perubahannya dengan penuh bersemangat dalam kitabnya ini selepas berlalu episod penderitaan umat yang terlalu panjang. Umat dan fuqaha'nya telah melalui kepahitan bid'ah dan kezaliman pemerintah puak al-Buweihi yang sesat dan bersekutu dengan kerajaan Fatimiah di Mesir yang tidak kurang kejahatannya.

Saya telah banyak meringkaskan kata-kata al-Juwaini. Oleh sebab itu, saya menasihatkan agar para pengkaji ilmu tidak mengambil kata-kata al-Juwaini daripada kitab ini (الفقه اللاهب), sebaliknya mereka hendaklah merujuk kepada kitab asal.

Akhir sekali, kita mengucapkan terimakasih kepada Dr. AbdulAzim ad-Dib. Sesungguhya beliau seorang yang bijaksana dan telah bertungkus lumus menyiapkan kajiteliti manuskrip kitab ini.

Mukadimah Dr. Abdul Azim ad-Dib Saya telah mengkaji karangan-karangan Imam al-Haramain, bertujuan mencari ciri-ciri fiqhnya. Antara hasil usaha ini ialah kajian yang saya kemukakan sebagai tesis doktor falsafah saya bertajuk: "Fiqh al-Imam al-Haramain", yang mendapat pangkat Cemerlang Kelas Satu. Saya
dapati beberapa maklumat kita tentang al-Imam yang perlu diperbetulkan. Antaranya ialah tanggapan bahawa al-Imam merupakan ulamak ilmu kalam. Tanggapan ini kurang tepat kerana hasil ilmu dan karangannya dalam bidang Usul dan Fiqh berkali ganda banyaknya berbanding karangan beliau dalam bidang ilmu kalam. Dan kitab "al-Ghiyathi" merupakan hasil karangan beliau yang paling berharga.

Al-Juwaini hidup ketika zaman negara Islam berpecah belah kepada banyak negara-negara kecil. Walaubagaimanapun, zaman itu juga merupakan zaman kemajuan ilmu dan peradaban yang paling hebat. Setiap negara berusaha agar memiliki madrasah, fuqaha', budayawan dan penyair sendiri, demi melengkapi keagungan pemerintah. Khurasan adalah negeri yang paling subur melahirkan cendekiawan dan pemimpin.

Al-Imam al-Juwaini membesar di bandar Naisabur, antara bandar termaju di Khurasan. Masyarakat banyak dipengaruhi oleh pegangan akidah asing yang berasal dari Farsi, India dan Yunan. Pegangan dan akidah asing ini berselindung di sebalik aliran falsafah, mazhab-mazhab dan kumpulan-kumpulan. Perdebatan antara kumpulan-kumpulan ini tidak pernah reda, dalam suasana ilmu, tamadun dan saingan pemikiran. Kesemua fenomena ini mempengaruhi perkembangan peribadi Imam al-Haramain, mengasah minda dan memantap kebijaksanaannya.

"al-Ghiyathi" adalah nama masyhur bagi kitab ini. Nama asal yang diberi oleh al-Imam ialah غياث الأمم في التياث الظلم. "al-Ghiyathi" bermakna "Penyelamat"

Orang yang dimaksudkan oleh al-Imam sebagai penyelamat itu ialah Nizam al-Malik, seorang menteri yang adil. Nama sebenarnya ialah al-Hasan bin Ali at Tusi. Beliau adalah pengasas Madrasah an-Nizamiah. Seorang ahli ibadat yang zuhud dan masyhur, pejuang Sunnah, pelindung bagi para fuqaha' dari kezaliman golongan bid'ah dan munafik. Salah seorang fuqaha' mazhab Syafi’e.

Beliau memegang jawatan menteri di bawah pemerintahan Sultan Alab Arsalan (Kesultanan Saljuk). Setelah sultan mati, beliau berada di bawah pemerintahan anakanda sultan pula bernama Malikshah.

Di dalam kitab "al-Ghiyathi" ini, al-Juwaini tidak bermaksud sekadar berbahas tentang bab Imamah sahaja. Bahkan beliau berterus terang bahawa perbincangan tentang Imamah di dalam kitab ini hanya sekadar mukadimah kepada perbincangan yang lebih utama iaitu "ketika zaman ketiadaan pemerintah dan Imam" atau "ketika zaman orang-orang Islam dipimpin oleh Imam yang melakukan maksiat secara berterusan, melampaui batas, tidak betul, sehingga hak dan hudud tergendala".

Jelas sekali, berdasarkan susunan kitab ini, al-Juwaini mendorong agar Nizam al-Malik merampas kuasa dan memecat khalifah yang lemah pada masa itu. Di dalam bab "Hukum ketika jawatan Imamah dirampas oleh seorang yang berkuasa dan kuat", beliau berterus terang bahawa Nizam al-Malik adaLah satu-satunya orang yang layak, berkebolehan dan mampu membawa kesatuan.

Berkenaan manhaj al-Juwaini dalam mengarang kitab ini, beliau beriltizam dengan beberapa perkara:

· Membuat kesimpulan setelah penerangan panjang lebar dan terperinci.

· Kadang-kadang beliau menerangkan secara umum dahulu, kemudian diikuti
dengan penerangan secara terperinci.

· Yang paling utama; beliau membezakan antara perkara-perkara muktamad
(yang diterima dan disepakati) dan perkara-perkara tidak pasti (diperselisihkan
dan boleh diperdebatkan). Perkara-perkara yang muktamad ialah yang diputuskan
oleh:
o Nas al-Quran.
o Hadith mutawatir.
o Ijmak.

· Hanya membawakan pandangan-pandangan baru dan tidak menceritakan kembali kata-kata ulama terdahulu. Jika terpaksa membawa semula kata-kata ulamak terdahulu, beliau hanya menggunakannya sebagai laluan untuk membuka topik beliau dan secara ringkas sahaja.

· Kitab ini langsung tidak mempunyai unsur-unsur meleret kerana pembahagian bab-bab yang begitu teliti.

· Beliau menghimpunkan antara sifat ketelitian seorang ulama dan kehangatan jiwa seorang dai’e dalam gaya bahasa kitab ini.

Orang pertama yang membawa fikrah al-Imam al-Juwaini ialah al-Imam Abu Hamid al-Ghazali. Takdir Allah telah menentukan bahawa karangan al-Ghazali lebih banyak dan lebih masyhur berbanding gurunya al-Juwaini. Keadaan ini sehingga menyebabkan al-Imam as-Syatibi beberapa kali tersilap menisbahkan pendapat yang dibawanya kepada al-Ghazali, walhal pendapat itu sebenarnya adalah pendapat al-Juwaini.

Selain al-Ghazali, ulama lain yang turut terkesan dengan fikrah al-Juwaini ialah al-Amidi, al-Izz bin Abdis Salam, as-Subki dan lain-lain.

Daripada mukadimah syeikh Ahmad ar-Rasyid dan Dr Muhamad, jelas menunjukkan kitab ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Wajar bagi penuntut ilmu dan mereka yang terlibat dengan permasalahan dakwah mengkaji kitab ini sebagai rujukan ketika melayari bahtera dakwah.

Sekian wassalam

Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

One thought on “Menyelamat Umat dari kepekatan gelap gulita

  • June 2, 2011 at 11:34 pm
    Permalink

    Terbaik!
    Terima kasih Ustaz. Artikel ni menunjukkan tamayyuz MUIS berbanding badan ulama lain. we want more!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 3249 access attempts in the last 7 days.