Fiqh SemasaSoal Jawab

Hukum membeli barangan cetak rompak

Assalamualaikum ustaz, boleh ke kita gunakan benda-benda yang dicetak semula tanpa kebenaran pengeluar barangan tu. Contohnya macam jual/beli jersi yang tidak original, fotostat buku-buku untuk pelajaran, mahupun untuk tujuan dakwah seperti sebarkan album-album nasyid dalam bentuk MP3 yang didownload di internet kepada orang ramai ataupun sebarkan buku-buku berbentuk PDF tanpa kebenaran pengeluar?

Jawapan:

Pada ketika ini, terdapat dikalangan manusia yang mengaut keuntungan dengan melalui jalan mudah dengan melakukan pengekploitasian ke atas titik peluh dan penat lelah orang lain. Maka begitu juga semakin luas kegiatan cetak rompak dalam pelbagai versi samada melalui photostat, muat turun, salinan semula buku-buku dengan tujuan mengaut keuntungan, memuat turun pelbagai program melalui internet dalam berbagai bentuk sudah menjadi budaya yang sewajarnya difikir dan direnung semula demi kepentingan bersama.

Secara umumnya, permasalahan tentang mencetak semula, photocopy, fotostat, adalah tertakluk kepada undang-undang hakcipta dan harta intelek sepertimana yang telah diiktiraf oleh ulama’- ulama’ kontemporari Islam dalam keputusan Persidangan Fiqh Islam Sedunia ke – 6 di Kuwait pada 1 – 6 Jamadil Awwal 1409 Hijrah.

Resolusi persidangan ini menyatakan bahawa;

"Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara dan dilindungi serta diiktiraf mengikut Syari'at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus dicerobohi”

Oleh itu, berdasarkan kepada resolusi ini; adalah jelas bahawa tidak harus seseorang itu menjual barangan atau produk cetak rompak kerana ia dianggap sebagai menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga diharamkan bagi kita, membeli barang-barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barangan curi.

Beberapa istilah yang wajar kita teliti, mungkin boleh membantu kita dalam menyelesaikan persoalan ini.

a. Harta

b. Harta Intelek

 

a). Harta
Fokus yang perlu ditekankan dalam ruang ini adalah berkaitan dengan harta. Sebab itu, Dr. Abu A’ynan Badran menyebutkan bahawa harta ialah sesuatu yang dimilki samada ‘ayn atau manfaatnya[1].

b). Harta Intelek
Norliza Binti Mohamad ( 1999 ) dalam kajiannya bertajuk “ Hakcipta Dari Aspek Teori Harta Intelek Menurut Perpektif Islam” menggariskan Empat elemen asas untuk menilai harta intelek[2].

i. Harta intelek terhasil daripada usaha yang digembelingkan

Harta intelek ini terhasil dari penggembelingan tenaga samada penggunaan akal fikiran, kecerdikan dan tenaga, masa dan ruang yang keseluruhanya terhasil untuk menghasilkan sesuatu output.

ii. Harta intelek mempunyai nilai dan harga.

Ini bermakna sesutau harta intelek apabila dipasarkan, mampu menghasilkan pendapatan dan keuntungan samada dalam bentuk wang ringgit mahupun dalam bentuk urus niaga yang lain sepertimana mu’amalah dalam harta alih dan tidak alih. Keuntungan dan pendapatan ini adalah terhasil daripada usaha dan penggembelingan yang dilakukan oleh seseorang atau mana-mana pihak.

iii. Boleh dikuasai dan dikawal

Harta intelek boleh dikawal dan dikuasai sebagaimana juga harta alih dan tidak alih kerana ia perlu dijadikan dalam bentuk bahan. Disamping itu, dengan pengiktirafan undang-undang bererti pemunya diberi hak mutlak menguasai hasil usaha mereka

Justifikasi sama ada harta itu bernilai dan boleh dimanfaatkan atau tidak ialah terletak pada penilaian syarak. Ini bermakna mana-mana karya yang membawa kepada kebaikan dan kemashlahatan, adalah diterima oleh syarak, sebaliknya karya dan hasil seni yang bertentangan dan membawa kemudharatan, adalah ditentang oleh syarak.

Untuk menjawab persoalan ini, pembacaan kita akan terfokus kepada dua aliran, iaitu

i. Pandangan yang melarang .

Ulama’-ulama’ yang melarang berhujah berdasarkan kepada membeli barang-barang cetak rompak adalah sama seperti membeli barangan curi.

Dr. Yusof al- Qardhawi dalam kitabnya “ Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul. Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW bermaksud:

"Barangsiapa membeli barang curian, sedang dia mengetahui bahwa barang tersebut adalah curian, maka dia bersekutu dalam dosa yang cacat."(Riwayat Imam al- Baihaqi)

Selain daripada al-Quran menjelaskan sandaran yang cukup kukuh untuk memandu kita dalam menyelesaikan permasalahan ini. Firman Allah SWT:

“ Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu bermaharaja di muka bumi dengan membuat kerosakan”. [ al-Syua’raa :26:183 ]

“ Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” .{ Surah al-Anfal: 8: 27 }

ii. Pandangan yang Membenar.

Terdapat pandangan Ulama’ yang membenarkan amalan ini dalam ruang-ruang dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

a. Membenarkan amalan ini bagi tujuan pembelajaran sekiranya amat sukar untuk mendapatkan salinan yang asal atau dengan sebab harganya yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh penuntut ilmu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan. Pandangan ini berdasarkan kepada ayat al- Quran:

“dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) Yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa Yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa Yang kamu terpaksa memakannya? dan Sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan Dengan hawa nafsu mereka Dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang melampaui batas.” [ al-An’am: 6:119 ]
 

“ Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [ al-Baqarah: 2: 173 ]

2. Jika pemiliknya memberi kebenaran untuk kegunaan persendirian atau individu dan bukan bagi tujuan dan kegunaan komersil.

Kesimpulan

Membeli/ menjual barangan yang telah di cetak rompak atau membuat salinan barangan tersebut secara tidak sah, hukum asalnya haram, namun begitu beberapa pendapat mengharuskan dengan syarat-syarat tertentu, dan ianya bergantung pada syarat yang telah diberikan.

Sekian Wallahua’lam.

Rujukan:
[1] Badran, Abu al-‘Aynayn Badran ( tt),” al-Syari’ah al-Islamiyyah: Tarikhuna wa Nazariyyat al-Milkiyyah wa al- ‘Uqud” , Iskandariyyah: Muassasah al-Syabab al-Jami’yyah, m.s. 286.

[2] Norliza Binti Mohamad ( 1999 ) “ Hakcipta Dari Aspek Teori Harta Intelek Menurut Perpektif Islam” Disertasi Ijazah Sarjana Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, UM, Kuala Lumpur m.s.40-41

 

Disediakan oleh:
Ustaz Shukry Sulaiman
Ahli Panel MUIS 

One thought on “Hukum membeli barangan cetak rompak

  • erm..saya ad berkenan belt branded n berniat tuk belikan kpda atok saya..kbetulan kat time saya jalan2 satu shopping street ni saya terjupa belt tu p sgt murah.mula2 saya still teragak2 nk bli p saya fikir ni rezki n saya pun beli as a present tu atok saya..camne ye?boleh ke?

Leave a Reply