Hubungan dengan Sepupu Lelaki

Salam…macamana hubungan dengan sepupu lelaki ? ada pendapat kata tidak mengapa nak bersalam?? apa ye dalil2 nya..

TQ

Zahraa

Jawapan:

Sepupu atau anak bapa saudara dan ibu saudara sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu adalah bukan mahram. Maka seseorang lelaki atau perempuan dibolehkan berkahwin dengan sepupunya. Oleh itu, aurat antara sepupu adalah sama dengan aurat ajnabi iaitu bagi lelaki antara pusat dan lutut dan bagi perempuan seluruh badan kecuali muka dan tangan.

Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 23, yang menerangkan tentang perempuan-perempuan yang diharamkan kahwin bagi seseorang lelaki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam ayat di atas tidak dinyatakan sepupu sebagai salah seorang yang diharamkan kahwin. Jadi seseorang dibenarkan berkahwin dengan sepupunya, oleh itu auratnya sama dengan ajnabi lain yang dihalalkan berkahwin, iaitu seluruh badan kecuali muka dan tangan. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

Dalam ayat di atas, dinyatakan seseorang perempuan tidak boleh mendedahkan atau memperlihatkan sesuatu daripada perhiasan diri mereka kecuali ‘apa yang zahir daripadanya’. Menurut Ibnu Abbas, ‘apa yang zahir daripadanya’ ditafsirkan oleh hadis Rasulullah SAW di bawah:

Aisyah melaporkan bahawa Asma’ binti Abu Bakr  masuk menemui Rasulullah S.A.W sedangkan dia berpakaian nipis.  Lalu Baginda berpaling sambil berkata; “Wahai Asma’!  Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah datang haid, tidak boleh lagi dilihat daripadanya kecuali ini dan ini”- sambil Baginda menunjukkan wajahnya dan dua tapak tangannya.” Direkodkan oleh Abu Dawud.

Jika mendedahkan aurat di hadapan sepupu adalah tidak dibolehkan (haram), maka lebih-lebih lagi jika berlaku persentuhan kulit sama ada melalui bersalam atau lain-lain adalah lebih-lebih lagi tidak dibolehkan (haram).

Imam al-Nawawi, seorang tokoh ulama besar dalam mazhab Syafie berkata yang bermaksud:

“Setiap orang yang haram dilihat (auratnya), maka haram menyentuhnya. Bahkan sentuhan adalah lebih haram. Walau bagaimanapun, halal melihat kepada wanita ajnabi jika ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya, tetapi tetap tidak boleh menyentuhnya dalam mana-mana situasi berkenaan.” (al-Nawawi, t.th., al-Azkar, Dar al-Fikr li al-Tiba’ah wa al-Nashr wa al-Tawzi’, hlm. 266).

Wallahu a’lam.

Ustaz Anwar Fakhri Omar
Sekretariat Majlis Ulama ISMA

2 thoughts on “Hubungan dengan Sepupu Lelaki

  • March 9, 2010 at 7:39 am
    Permalink

    salam wbt. kalau tak silap saya, ada hadith ttg rasulullah mengucup aishah sebelum pergi solat. harap betulkan andai silap fakta..adakah dalil ini boleh digunakan utk menghalalkan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita selagi tidak menimbulkan syahwat? jazakallah..wassalam

  • Pingback: Hari Raya 10′: Aurat Antara Sepupu | Critical Angle

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 252 access attempts in the last 7 days.