Kalimah Allah: Memancing tahap peduli ummat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-82 pada 5-7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa adalah diharamkan penggunaan empat kalimah iaitu Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat oleh orang bukan Islam. Berhubung penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian Katholik ini, adalah jelas bahawa ia bertentangan dengan apa yang telah diputuskan oleh Muzakarah bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan dan orang Islam sahaja.

Kabinet pula pada  bulan Mei tahun 1986 telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat adalah tidak dibenarkan untuk orang bukan Islam menggunakannya. Malah penggunaan empat kalimah berkenaan  sudah diwartakan hanya khusus untuk orang Islam sahaja di bawah Warta PU(A) 15/82 dan Pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986. Jemaah menteri  juga telah bermesyuarat  pada 3 Januari  2008 dan bersetuju  mengekalkan larangan tersebut sebagaimana yang telah diputuskan juga pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

Walaupun pihak Kristian mendakwa telah menggunakan kalimah Allah ini sejak 1960-an lagi di Sabah dan Sarawak, tetapi  orang Islam tetap tidak menerimanya bukan sahaja di dua negeri itu tetapi juga di seluruh Malaysia khususnya malah dunia Islam amnya.

Walaupun isu ini agak menggemparkan negara kita (buat masa ini), setakat ini Sultan Selangor antara raja-raja yang awal memberikan respon dengan mengeluarkan kenyataan  tetap melarang gereja-gereja di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam sebarang aktiviti mereka.

Namun begitu, ramai juga malah sebahagian besar ummat Islam yang lain mengambil sikap tidak kisah, tidak peduli dan menganggap isu ini adalah biasa sahaja, sama seperti isu-isu ummat Islam yang lain seperti  isu murtad misalnya yang akan berakhir begitu sahaja. Bagi mereka yang penting kita teruskan sahaja kehidupan dan kerja-kerja yang lebih utama daripada melayan sebarang isu-isu remeh seperti  ini.

Adakah isu ini remeh?

Justeru bagaimana  dan apakah kayu pengukur yang boleh digunakan oleh ummat Islam untuk mengetahui dan menilai remeh atau tidak remehnya sesuatu perkara?

Dalam surah Al-Baqarah ayat 120, Allah SWT telah menegaskan bahawa orang Yahudi dan Nasrani sesekali tidak  akan rela terhadap ummat Islam sehinggalah mereka (orang Islam) mengikuti agama dan ajaran mereka (Yahudi dan Kristian). Pertentangan Yahudi dan Kristian terhadap Islam telah dirakamkan sejarahnya oleh Al-Quran. Mereka juga yang telah membunuh para nabi dan rasul, mengubah dan menyelewengkan isi kandungan kitab-kitab samawi, melanggar perjanjian dan segala macam kebejatan yang mereka telah lakukan dalam sejarah tamadun kemanusiaan.

Tiba-tiba, pada awal tahun baru 2010 kita mendapat berita betapa ‘ikhlas dan lunaknya’ mereka  mahu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka setelah sekian lama mereka melontarkan kalimah itu (dari sudut sebutan dan pengertiannya yang sebenar) sejauh-jauhnya dari ajaran dan kehidupan mereka selama ini.

Ikhlaskah mereka??

Alangkah baiknya budi ummat Islam pula bila mana sesuatu yang telah sah menjadi milik kita, berdasarkan fakta-fakta yang telah disebutkan di atas, dengan senang hati kita serahkan kepada musuh yang memang terkenal licik dan penuh muslihat terhadap Islam.

Kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja malah hati kita tidak sedikit pun  tersentuh… tanpa sekelumit rasa curiga.

Wahai ummat,

Isunya di sini bukan sekadar kalimah Allah, tetapi  ia melibatkan persoalan aqidah, maruah dan keharmonian dalam masyarakat.

Allah berfirman  dalam surah Al-Ikhlas ayat 1-4:

“Katakanlah wahai Muhammad Allah itu Esa. Allah menjadi tempat pergantungan. Dia tidak beranak dan tidak diperanakan. Dan tidak ada bagiNya sekutu dengan sesiapa pun.”

Nama Allah adalah berdasarkan kepercayaan tauhid orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh orang Islam. Yang penting adakah Allah yang digunakan Kristian itu adalah sama dengan konsep tauhid atau esa yang disebut oleh Al-Quran.

Agama yang diterima di sisi Allah hanya Islam. Islam sahaja agama yang benar dan diiktiraf oleh Allah. Tiada persamaan dengan mana-mana agama malah agama selain Islam adalah ditolak.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 18-19:

“Allah menyatakan bahawa tidak ada tuhan selain Dia; (demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan, tidak ada tuhan selain Dia, Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana. Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi kitab (Yahudi dan Nasrani) kecuali setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian di antara mereka.”

Cuba kita bayangkan selepas ini  orang bukan Islam menggunakan kalimah  Allah di dalam penerbitan, upacara-upacara dan dakyah  mereka, sudah tentu akan menimbulkan percanggahan yang  nyata dan kekeliruan, seterusnya kegelisahan dan ketegangan yang berterusan dalam masyarakat Malaysia.

Aqidah Kristian menetapkan tuhan bersifat Trinity atau tiga tuhan. Apakah penggunaan God dan Jesus pun perlu penjenamaan semula  di akhir zaman ini sehinggakan mereka terpaksa menggunakan mahkamah sivil untuk merampas atau berkongsi hak penggunaan kalimah tersebut dengan ummat Islam.

Bolehkah isu ini diselesaikan melalui proses undang-undang? Seperti mana isu murtad yang lebih berpihak kepada orang bukan Islam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhammad berkata penyelesaian kontroversi  berkenaan kalimah Allah tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada mahkamah rayuan dan lunas perundangan semata-mata. Menurut beliau, undang-undang tidak mengambil kira soal sensitif atau tidaknya sesuatu perkara, atau soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut-penganut agama yang berlainan.

“Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja,” kata beliau yang pernah memegang portfolio kementerian Dalam Negeri.

Kita amat berharap agar pihak berkuasa terutamanya  pihak pemerintah  yang  masih ada ruh cintakan agama Islam ini berusaha  menggunakan kuasa politik yang masih diberikan Allah di tangan mereka  untuk menyelesaikan masalah ini.

Kepada semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam, jadilah badan pendesak yang kritis dan kreatif demi Islam yang kita cintai ini yang semakin terhakis kesuciannya di bumi sendiri.

Jika tidak, jangan pelik dan hairan, akan datang ada pula tuntutan untuk menggunakan Baitullah untuk gereja, Kitabullah untuk Bible dan solat mengadap patung Jesus dan Mary di dalam gereja.

Sedarlah ummat, cukuplah kealpaan dan kelekaan kita selama ini.

Ustazah Jamiah bt Wahab
ISMA Seremban

Blog Wanita ISMA

One thought on “Kalimah Allah: Memancing tahap peduli ummat

  • March 6, 2010 at 6:41 am
    Permalink

    ana sokong apa yg ustazah hujahkan di atas,cuma lebih baik dan cantik jika hujah2 tadi di sulami dengan qawi’d fiqhiyyah,dalil2 syara’ yg berbagai dan cerita2 salafussolih tentang bagaimana mereka behadapan dengan situasi2 yg genting seperti ini..

    ke arah membina genarasi hadapan..
    jazakillah ala kulli syai’..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 3249 access attempts in the last 7 days.