Peratus untuk Dakwah dan Keluarga

Assalamualaikum,

Berapa peratuskah masa bagi seorang wanita untuk disalurkan kepada rumahtangga dan berapa peratuskah masa yang perlu diperuntukkan kepada dakwah di luar rumah?

Di manakah titik pengakhiran bagi seseorang wanita untuk tidak lagi bergiat aktif di luar rumah?

Jawapan:

Rumah tangga adalah salah satu dari medan dakwah. Mendidik keluarga untuk mentaati Allah dan ubudiah kepada Allah swt adalah tugas asasi bagi mereka yang telah berkeluarga . Suami dan isteri,atau ibu dan bapa seharusnya memastikan anak-anak mereka mendapat tarbiah Islamiah yang sempurna, merangkumi semua aspek, aqidah, akhlaq, kejiwaan, rohani dan jasmani seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulnya. Kesemua tugas tersebut mesti dilakukan dengan baik, bukan semberono. Kerana rumah tangga yang lintang pukang , anak-anak yang tidak terurus akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri sekali gus member imej negatif kepada sesiapa sahaja yang memerhatikannya.

Firman Allah :

يايهاالذين امنوا قوا أنفسكم و أهليكم نارا

Maksudnya : wahai orang-orang yang beriman jauhkanlah dirikamu dan keluarga mu dari api neraka.

[surah At Tahrim : 6].

Dalam masa yang sama seorang wanita turut mempunyai tanggung jawab untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat ,yang juga memerlukan dakwah. Satu medan yang memerlukan kepada pengorbanan yang tinggi . Maka wanita mesti bijak dalam memastikan kedua-dua tanggung jawab ini tidak terabai.

Berapa banyak peratus masa yang perlu dibahagikan antara rumah tangga dan dakwah di luar rumah adalah tertakluk kepada situasi dan keperluan kedua-dua institusi tersebut. Jika anak-anak masih kecil dan ramai pula, tiada pembantu ,maka peratusannya mungkin lebih sedikit, berbanding dengan situasi sebaliknya. Wanita yang anaknya tidak ramai atau sudah besar-besar adalah mungkin mempunyai lebih banyak masa untuk diwaqafkan kepada dakwah.

Begitu juga dengan dakwah di luar , jika keadaannya agak kritikal maka harus diberikan tumpuan lebih kepadanya, perlu dikorbankan seketika segala urusan lain . Di sinilah perlunya kita menimbang mana yang lebih penting daripada yang penting. Ringkasnya untuk memastikan keluarga dan dakwah di luar berjalan dengan lancar seorang wanita itu harus pandai membahagikan masanya, bersistem dalam melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab.

Secara logiknya wanita yang kreatif dan aktif mampu membuat dua kerja dalam satu masa, manakala seorang yang lemah dan pasif satu kerja pun belum pasti selesai. Biarlah masa yang diberikan untuk mana-mana pihak itu digunakan dengan efektif. Tidak ada ertinya memperuntukkan masa yang banyak tetapi berlalu tanpa membuat sesuatu yang berfaedah.

Amal jamaiy adalah antara satu penyelesaian. Kerana kerja dakwah tidak mampu di lakukan dengan seorang diri. Dengan amal jamaiy urusan dakwah akan lebih tersusun . Pengagihan tugas akan di lakukan mengikut kesesuaian dan tuntutan dakwah semasa yang mempunyai fasa dan marhalahnya yang tersendiri. Kerana fard muslim itu ibarat batu bata yang saling kukuh mengukuhi antara satu sama lain dalam satu bangunan.

Semuga iltizam yang tinggi, sifat tajarrud dan pengorbanan yang tinggi akan memudahkan segala urusan. Berazam dan bertawakkallah kepada Allah.

Kenapa sudah fikir untuk mencari titik pengakhiran dalam dakwah, sedangkan kita baru sahaja bermula. Selama ini pun kita hanya buat dakwah secara part time bukan sepenuh masa .. maka layakkah untuk kita berhenti atau tarik diri?

Titik pengakhiran bagi seorang wanita untuk aktif di luar sana sama sahaja dengan lelaki. Iaitu sehingga tibanya kematian. Tidak ada istilah rehat atau pencen dalam dunia dakwah. Cuma mugkin bentuk dan caranya mungkin berbeza.

Perkara ini telah di buktikan oleh para sahabiah di zaman Rasulullah, Lihat sahaja Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asma’ dan ramai lagi pernahkah mereka berhenti atau berakhir di satu titik dalam kehidupan mereka untuk memberi sumbangan kepada dakwah sebelum mereka wafat? Kerana umur dakwah itu tidak boleh di ukur dengan umur manusia, tetapi dakwah berterusan sehinggalah ke hari kiamat.

Sesebuah institusi dakwah yang tersusun tentu akan meletakkan setiap ahlinya di posisi yang sesuai , dengan mengambil kira faktor usia, ilmu, pengalaman, kesihatan dan seumpamanya agar ia sentiasa dapat mengecapi pahala dakwah hingga ke akhir hayat. Seni dakwah itu pelbagai, berdakwah dengan penulisan, berdakwah dengan perkataan, memberi idea, merancang dan sebagainya. Pasti ada yang sesuai dengan kemampuan dan bakat anda, walau sudah menjangkau usia senja.

Kedua, para daieyah bilangannya lebih sedikit dari golongan yang akan di dakwahkan. Seandainya bilangan yang ada akan pencen maka dikhuatiri dakwah ini akan sentiasa kekurangan tenaga, sedangkan kekosongan dalam banyak bidang dalam arena dakwah ini perlu sentiasa di isi dan ditambah baikan. Malahan semakin lama seseorang itu dalam dakwah semakin berharga pengalamannya untuk di perturunkan kepada generasi baru, untuk di kongsi dan di upgradekan.

Inilah jalan dakwah yang telah kita pilih yang akan di perjuangkan sehingga nafas terakhir.

Firman Allah :

قل هذه سبيلي أدعوا الى الله عتى بصيرة أنا ومن اتبعنى وسبحان الله وما انا من المشركين .

Maksudnya : Katakanlah (Muhammad) ” Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin , Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk rang-orang yang musyrik.
[surah Yusuf: 108].

Sekian, Wallahu A’lam.

Disediakan oleh:

Ustazah Norlida Kamarudin
Timbalan Ketua Wanita Isma Pusat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1265 access attempts in the last 7 days.